Thursday, 29 March 2012

Pengorbanan Cinta Seorang Dai'e

Prolog
SMK ( A ) Sultan Muhammad, 2002
            “Kamu kena ingat, tanggungjawab seorang dai’e teramat berat. Memang tidak dinafikan, ganjaran pahalanya amat besar di sisi ALLAH, tetapi banyak pengorbanan yang perlu kamu lakukan.”
            “Pengorbanan masa dan kewangan ke ustaz?” Amri, pelajar tingkatan 1 Ali bertanya.
            “Masa dan kewangan cuma pengorbanan kecil. Masih ada pengorbanan yang lebih besar yang perlu kamu lakukan. Tetapi, tiada yang lebih menggembirakan ustaz selain daripada melihat anak-anak ustaz  sanggup meneruskan kerja yang pernah dilakukan Nabi Muhammad S.A.W.” Tuan Haji Abdul Razak menyatakan. Lelaki itu merupakan seorang guru yang mengajar subjek Kemahiran Hidup dan juga seorang pendakwah bebas. Antara lelaki yang amat disayangi dan dihormati Amri.

1
PSS MITC, 2012
            Dialog di antaraya dan juga ustaznya 10 tahun yang lepas terngiang-ngiang di pendengaran. Dia tersenyum sendiri. Tanggungjawab seorang dai’e sememangnya berat, dia sendiri mengakui perkara itu. Tetapi sehingga sekarang dia masih tertanya-tanya , apakah yang dimaksudkan dengan “pengorbanan yang lebih besar” yang pernah dinyatakan kepadanya?
            “Abang Amri. Jauh termenung. Teringatkan siapa? Awek ke?”  Suara yang amat tidak asing baginya menyapa sambil tertawa kecil. Amri hanya tersenyum sendirian.
            “Awek? Sekarang bukan masanya, Farah.” Dia bersuara tanpa berpaling menghadap gadis yang muda 5 tahun dari dirinya itu.
            “Maksud abang?”
            “Selamat datang.” Amri menegur dan melayan seorang pelanggan yang datang ke stesen minyak tersebut.
            “RM 10, pam 5. Terima kasih.”
            Dia berpaling ke kiri, menekan skrin komputer itu beberapa kali sehingga bahagian simpanan wang yang berada di bawah skrin komputer itu terbuka secara automatik. Dia kemudiannya menyambung bicaranya yang mengundang persoalan di hati Farah.
            “Sekarang ialah masa untuk menyiapkan diri, bukannya masa untuk melayan perasaan. Jika dilayan, bimbang kita akan hilang tumpuan pada apa yang sepatutnya kita lakukan, sehingga apa yang kita idamkan akan terlepas.”
            “Persiapan? Untuk apa? Apa yang terlepas?”
            “Tadi Farah tanya, abang teringatkan siapa? Awek ke? Abang memang ada perasaan pada seseorang tetapi bagi abang, sekarang bukan masanya untuk melayan perasaan cinta yang hadir dalam diri abang. Sebaliknya, abang seharusnya menyiapkan diri untuk menyunting gadis yang abang impikan. Bunyinya seperti mudah, tetapi persiapannya memakan masa. Tambahan pula, sasaran abang bukan hanya di dunia.”
            “Bukan hanya di dunia?” Farah semakin galak bertanya. Setiap bicara pemuda itu merupakan ilmu bagi dirinya.
            Sekali lagi dia tersenyum. “Bagi abang, erti cinta sebenar ialah memimpin orang yang kita sayangi dan cintai ke syurgaNya yang penuh kenikmatan. Bukannya mengheret orang yang kita sayangi dan cintai ke nerakaNya yang penuh penyeksaan. Itulah yang dimaksudkan dengan cinta yang matlamatnya ialah Akhirat, keredhaan ALLAH. Cinta agung, cinta mulia. Bukan seperti cinta kebanyakan muda mudi sekarang,”
            “Boleh abang terangkan lebih lanjut?”
            “Cinta kebanyakan remaja zaman sekarang ialah sentiasa berhubung, sentiasa berjumpa. Bila berjumpa, pasti akan berdua-duaan. Sekurang-kurangnya berpegang tangan. Bukankan hukumnya haram apabila kita menyentuh seseorang yang tidak halal untuk kita? Lebih baik kita bergomol dengan khinzir berbanding menyentuh yang tidak halal untuk kita. Abang akui, abang pelajar sekolah agama, diploma Syariah Islamiyyah, namun itu bukan jaminan bahawa abang akan selamat daripada melakukan perkara sedemikian apabila abang menjalinkan cinta dengan seseorang yang belum tentu menjadi milik abang. Jadi, lebih baik abang pendamkan dahulu perasaan abang dan persiapkan diri untuk menyunting dia, daripada terus melayan perasaan cinta dan kasih sayang yang hadir hingga mengakibatkan abang sendiri lalai dan terlupa tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan.”
            Farah mengangguk-anggukkan kepalanya tanda memahami penerangan panjang lebar pemuda tersebut.
            “Boleh Farah…”
            Ayatnya itu terhenti apabila tiga orang pelanggan secara serentak menghampiri kaunter bayaran. Farah yang menemani Amri sementara menunggu kehadiran ayahnya turut sama membantu. Dia syif petang dari jam 3 petang hingga 11 malam, sedangkan Amri syif malam bermula 11 malam hingga 7 pagi. Namun demikian, Amri memilih untuk masuk pada jam 7 malam. Setelah pelanggan reda, Amri menyambung perbualannya dengan Farah.
            “Apa yang ingin Farah katakan tadi?”
            “Boleh Farah tahu, siapakah gadis bertuah itu?”
            “Sesetengah perkara kita boleh kongsikan dengan orang lain, tetapi ada juga perkara yang tidak boleh kita kongsikan dengan orang lain. Abang harap Farah faham apa yang abang maksudkan.”
            “Farah faham. Terima kasih sudi menerangkan.”
            “Sama-sama.”
            Farah, alangkah baik jika Farah mengetahui siapa yang abang maksudkan…

2
SWM Enviroment Sdn Bhd
            Amri melangkah keluar dari pejabat tempat kerjanya. Dia disapa oleh sahabatnya, Shahrizal.
            “Bro. Mana nak makan ni?”
            “Tempat biasa. Ada something yang aku nak story kat kau.”
            “Gerak dulu. Story kemudian okey?”
            “Setel.”
**********
            “Hah…apa yang kau nak story kat aku ni?” Walaupun tua 3 tahun berbanding Amri, namun itu tidak menjadi penghalang untuk Shahrizal bersahabat dengannya. Tambahan pula, mereka “sekepala”.
            “Aku ada hati kat someone. So, apa  pandangan kau? Patut aku luahkan atau diamkan saja?”
            “Pandangan dari sudut umum atau agama?”
            “Dua-dua.”
            “Okey. Kalau ikutkan umum, luahkan aje. Terima atau tak, belakang kira. Tu pandangan umum. Ikut pandangan agama, berbeza. Sangat berbeza. Aku rasa, kau sendiri lebih tahu kan?
            “Maksudnya?”
            “Engkau sudah bersedia untuk bernikah? Apa persediaan kau sebagai bakal ketua keluarga? Apa kau mampu untuk memberikan nafkah? Batin mungkin.” Dia ketawa sendiri sebelum serius semula. “Bagaimana dengan nafkah lain? Duit belanja? Makan minum? Pakaian? Tempat tinggal? Jika engkau luahkan kepada dia, engkau mampu dan yakin boleh mempercepatkan pernikahan? Semua benda ni kau harus fikir betul-betul. Bagi aku, tidak salah bercinta sebelum nikah, tetapi,dengan syarat percepatkanlah pernikahan.” Amri terdiam.
            “Jika tidak mampu, lupakan sahaja perasaan itu.” Dia berkata.
            “Betul. Tepat sekali. Camni la bro aku.” Shah tersenyum. Amri tersengih.
            “Dah. Apa lagi, jom makan!”
           

3
Ayer Keroh
            Malam itu, seperti kebiasaannya, dia menghadap skrin laptop. Membaca dan menulis merupakan aktiviti kegemarannya untuk mengisi masa lapang. Namun demikian, malam itu, dia ketandusan idea. Dia termenung di hadapan skrin laptop. Lembaran baru Microsoft Word serba putih terbiar kosong. Apa yang dikatakan Shah terbayang di fikiran, berputar kembali di gegendang telinga.
            “Engkau sudah bersedia untuk bernikah? Apa persediaan kau sebagai bakal ketua keluarga? Apa kau mampu untuk memberikan nafkah? Batin mungkin.” “Bagaimana dengan nafkah lain? Duit belanja? Makan minum? Pakaian? Tempat tinggal? Jika engkau luahkan kepada dia, engkau mampu dan yakin boleh mempercepatkan pernikahan? Semua benda ni kau harus fikir betul-betul. Bagi aku, tidak salah bercinta sebelum nikah, tetapi,dengan syarat percepatkanlah pernikahan.” Setiap butir kata Shah bermain-main di fikirannya. Dia teringat kembali dialognya dengan Ustaz Razak, ketika dia ke sekolah lamanya itu untuk mengambil sijil SPM.
           
4
SMK (A) Sultan Muhammad, 2007
            “Ustaz, apa yang ustaz maksudkan dengan “pengorbanan yang lebih besar”? Puas saya berfikir, tetapi, saya masih gagal mendapatkan jawapannya.”
            “Seorang dai’e sepatutnya mampu menyedari kelemahan yang ada pada diri sendiri, kerana dia menyampaikan risalah ALLAH, meneruskan tugas nabi Muhammad S.A.W.. Bukannya untuk mengingatkan manusia lain, tetapi untuk mengingatkan dirinya sendiri kerana fitrah manusia itu dijadikan sebagai makhluk yang pelupa.”
            “Jika manusia itu seorang yang pelupa, kenapa ALLAH memilih manusia untuk dipertanggungjawabkan dengan amanah dan tanggungjawab yang begitu berat?”
            “Anakku Amri, firman ALLAH dalam Al-Quran surah Al-Ahzab ayat ke 72 yang bermaksud
Sekaligus membuktikan manusia itu sombong dan bongkak. Namun berkat ajaran agama yang dibawa oleh utusan ALLAH, kita berjaya mengatasi perasaan sombong dan bongkak itu.”
            Amri hanya mendiamkan diri. Ustaz Razak yang menyedari kegusaran anak didiknya itu tersenyum.
            “Ustaz tidak akan katakan secara terus apa yang dimaksudkan “pengorbanan yang lebih besar” yang pernah ustaz nyatakan, tetapi ustaz akan memberi 2 petunjuk.”
            Amri mengangkat kepalanya. “Apakah petunjuk itu?”
            “Fitrah dan jantina berlawanan. Itu sahaja yang boleh ustaz nyatakan. Ustaz pasti, kamu mampu mencari jawapan kepada persoalan yang bermain di fikiran kamu.”

5
            Amri termenung. Walaupun telah 5 tahun berlalu, dia masih tidak mendapat jawapan kepada persoalan yang bermain di fikiran. Dia mengeluh.
            Fitrah dan jantina berlawanan? Jantina berlawanan itu aku fahamlah, tapi apa yang ustaz maksudkan dengan “fitrah”? Mungkinkah…cinta??
            Dia tersedar. Dia pantas mendapatkan rak buku yang mengandungi bahan bacaan agama yang dikongsi bersama dengan ayahnya. Dia mengeluarkan beberapa buku yang mempersoalkan mengenai cinta. Antaranya ialah trilogi “Aku Terima Nikahnya” dan juga “Pemilik Cintaku Setelah ALLAH dan Rasul.” Dia meneliti dan memahami setiap helaian semua buku yang dikeluarkannya.
            Tidak dinafikan. Apa yang dimaksudkan oleh Ustaz ialah cinta. Pengorbanan cinta? Apa yang dimaksudkan dengan “pengorbanan cinta”? Aku kena dapatkan jawapan! Jika ustaz yakin pada aku, aku pasti akan temui jawapannya!

6
            Dia meneruskan kerjanya sepeti biasa. Dia akui, dia semakin hampir untuk menemui jawapan yang dicarinya.
            “Camne bro? dah dapat jawapan yang kau mahukan?” Shah bertanya.
            “Hampir. Aku cuma perlukan sedikit lagi masa dan rujukan. insyaALLAH, semuanya akan selesai dalam masa yang terdekat.”
            “Tak kira apa keputusan kau, aku sentiasa sokong kau, okey? Aku nak yang terbaik untuk kau, sahabat aku sendiri. Aku doakan.”
            “Thank you bro.”
            “Small matter je.” Telefon bimbit kepunyaan Amri berbunyi, menandakan dia menerima 1 teks mesej baru. Datangnya daripada Farah.
            Assalam. Abang, sihat? Lama tak mesej Farah?
            Amri mengeluh sambil fikirannya ligat berputar memikirkan jawapan yang sesuai untuk persoalan yang diajukan kepadanya. Memang agak lama mereka tidak berhubung. Namun dia mengambil pendekatan itu untuk mencari jawapan kepada persoalan yang bermain di fikirannya.
            Waalaikumussalam warahmatullah. Alhamdulillah. Maaf kerana lama tak mesej Farah. Abang sedang mencari jawapan kepada satu persoalan yang selama ni bermain di fikiran abang. Abang minta maaf.

            Farah yang baru sahaja sampai di rumah setelah selesai kerja syif pagi membaca mesej yang diterimanya dari Amri. Mesej yang menjawab persoalannya, tetapi mengundang persoalan lain.
            Jawapan kepada satu persoalan yang selama ni bermain di fikiran?

7
            Malam ini, seperti malam-malam yang sebelumnya, laptop kesayangannya terpasang. Namun demikian, malam ini agak berbeza berbanding malam sebelumnya. Dia menghidupkan laptop bukan untuk menulis, tetapi untuk mendengar alunan ayat suci Al-Quran sambil membuat rumusan daripada pembacaannya semenjak beberapa malam yang lepas.
            Cinta memang indah. Ada pasangan untuk ambil berat, jaga makan minum, berkorban wang dan juga masa untuk kita. Saling menyayangi dan mengasihi, bahkan saling mencintai. Indahnya satu percintaan itu. Tetapi, semua itu indah hanya SELEPAS PERNIKAHAN. Bukannya SEBELUM PERNIKAHAN. Sebelum pernikahan ,semua itu indah kerana mainan syaitan yang direjam. Seronok memang seronok, tapi,dosa pun “seronok” banyaknya. Pernikahan merupakan jalan penyelesaian. Tapi, keadaan aku sekarang tak mengizinkan aku untuk bernikah. Nampaknya aku perlu korbankan cinta aku ni. Pengorbanan lebih besar yang perlu aku lakukan selain pengorbanan masa dan kewangan ialah pengorbanan cinta. Ya ALLAH, jika ini harga yang perlu aku bayar untuk nikmat kemanisan iman dan kemanisan ibadah yang engkau kurniakan kepadaku, aku sanggup! Biarlah qada’ dan qadarMu menentukan siapa jodohku. Aku harus menjadi! Bukannya mencari!
            Jauh di sudut hatinya, dia amat berterima kasih kepada Ustaz Razak kerana yakin akan keupayaan dan kebolehannya untuk mencari sendiri jawapan kepada persoalan yang bermain di fikirannya. Dia sudah sedar, sebagai seorang dai’e, dia harus berkorban dalam banyak perkara. Antaranya ialah fitrah kepada setiap manusia. Sesuatu yang bergelar…cinta. Pengorbanan yang amat pahit untuk dilakukan, tetapi balasannya pasti teramat manis.
            Farah…maafkan abang. Mungkin Farah tak tahu mengenai perkara ini, tapi, selagi keadaan tak mengizinkan, selagi itulah abang akan pendamkan perasaan ini. Farah hanya akan tahu apabila keadaan abang mengizinkan abang untuk menyempurnakan separuh agama abang, dan juga mendapatkan semula tulang rusuk yang abang yang telah hilang.

8
            Dia tersenyum. Dia sendiri tidak menjangka akan mendapat khabar yang sama sekali tidak diduga. Rupanya dalam diam Farah telah pun berpunya.
            Patutlah dia semakin ceria dan gembira semenjak kebelakangan ni. Rupanya teman lelakinya balik untuk cuti semester. Alhamdulillah, ALLAh masih menyayangi aku dengan menyelamatkanku dari terjebak ke kancah percintaan sebelum pernikahan yang jelas lagi bersuluh banyak buruk dari baiknya. Terima kasih banyak-banyak, Ya ALLAH!
            “Abang? Senang hati nampak? Tak mahu berkongsi dengan Farah?” Gadis manis itu menegurnya.
            “Senyum itu satu sedekah.” Dia menjawab sambil tersenyum.

Prolog
            Cinta ialah satu perasaan, satu fitrah yang dijadikan ALLAH untuk semua makhluk ciptaanNya, terutama sekali manusia yang merupakan khalifah di muka bumi ini. Mungkin ada yang mengatakan aku pengecut kerana mengaku kalah sebelum berjuang, namun, biarlah perasaan cintaku kepada Farah berkubur tanpa nisan, tenggelam ke dasar hati tanpa timbul semula. Biarlah aku mendoakan kebahagiaannya. Bagi aku, itu sudah lebih dari cukup. Buat masa ini, lebih baik jika aku menyiapkan diri untuk menjadi imam yang mampu membawa isteriku yang aku sendiri tidak tahu siapa ke syurgaNya yang kekal abadi. Bahagia di dunia, bersatu selamanya di Akhirat… insyaALLAH…           
            Amri meneliti kembali catatan yang terpampang di skrin laptop. Dia tersenyum tanda berpuas hati dengan catatannya. Tetikus digerakkan ke arah file dan catatannya itu disimpan di dalam folder Perjalanan Hidupku.
-Shut Down-

Friday, 9 March 2012

Perjuangan

Azhar Bakar melontarkan pandangan ke arah Bangunan White House yang menjadi kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat tersebut. Negara yang turut menggelarkan diri mereka sebagai “Polis Dunia” tersebut menjalankan sistem pemerintahan berdasarkan konsep “semak dan seimbang”. Berdasarkan sistem tersebut, kuasa pemerintahan negara yang mengamalkan konsep tersebut dibahagi kepada 3 badan iaitu Badan Legistatif (Badan yang bertanggungjawab mengubah undang-undang) Badan Eksekutif (Badan yang bertanggungjawab memerintah sesebuah negara) dan Badan Kehakiman (Badan yang melaksanakan undang-undang). Namun begitu, ramai yang yang tidak mengetahui bahawa Badan Eksekutif turut campur tangan dalam urusan mengubah undang-undang, sedangkan Badan Eksekutif langsung tidak mempunyai kuasa untuk mengubah undang-undang.
            “Buat masa sekarang engkau berkuasa, namun tunggulah hingga pembalasan tiba,” ujar pemuda tersebut setelah memerhatikan White House untuk tempoh masa yang agak lama. Tingkah laku pemuda tersebut hanya diperhatikan sahaja oleh seorang lagi pemuda yang turut sama berdiri di sebelahnya.
            “Sabarlah Azhar. Sedikit masa sahaja lagi, apa yang kita rancangkan selama ini akan menjadi kenyataan,” pemuda tersebut bersuara, seolah-olah memahami isi hatinya.
            “Kita melakukan semua ini untuk saudara kita yang masih ditindas dan dizalimi tanpa sedikit pun belas kasihan di bumi suci Palestin dan Iraq. Mereka semua yang ditindas di sana merupakan saudara kita, dan kita seharusnya membela mereka.”
            “Disebabkan itu kita diamanahkan dengan kuasa dan tanggungjawab yang amat besar untuk mengubah nasib saudara kita yang masih menderita akibat penganiayaan mereka. Mereka berlagak seolah-olah mereka mempunyai kuasa mutlak terhadap negara tersebut, sedangkan mereka hanya menjajah negara saudara kita itu atas nama membanteras pengganas, sedangkan mereka sendiri adalah pengganas yang bertopengkan nama keadilan.”
            “Segala-galanya akan berubah pada hari esok,” ujar pemuda tersebut dengan penuh keyakinan. “Sudahlah. Mari kita pulang, Saiful. Kita hanya perlu tunggu dan lihat apa yang akan terjadi pada hari esok.Esok segalanya akan selesai. Selepas itu, kita sendiri akan membela nasib saudara kita.”
            “Betul katamu Azhar. Hari ini engkau berkuasa, namun esok kita kan lihat siapa yang sebenarnya berkuasa.” Ujarnya sambil membuka langkah meninggalkan tempat tersebut diikuti oleh Azhar. “Engkau” merujuk kepada penghuni White House tersebut.
            “Kau pasti semuanya akan berjalan dengan lancar esok?” Tanya Azhar kepada sahabatnya tersebut.
            “Semuanya akan berjalan dengan lancar, dan diharapkan tiada sebarang masalah yang akan timbul.”
            “Aku bukan tidak yakin dengan perancangan kita, namun apa tindakan yang harus dilakukan sekiranya masalah timbul?” Azhar bertanya lagi, menzahirkan kebimbangan yang bersarang sejak sekian lama dalam hatinya.
Saiful cuma mengukir senyuman. “Mengenai itu engkau tidak perlu risau. Jika ada sebarang masalah timbul pada hari esok, kita berdua sendiri akan turun padang untuk menyelesaikan masalah tersebut,” ujar Saiful sambil menepuk bahu sahabatnya.
“Namun begitu, aku turut mengharapkan tiada masalah yang akan timbul esok,” Azhar bersuara.
            “Tidak boleh terlalu mengharap. Jangan sesekali kita lupa, kita hanya merancang, tapi ALLAH juga yang menentukannya. Rancangan-Nya amat sempurna. Sebagai persediaan awal, kita harus sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada.”
            Mereka berdua hadir ke Amerika Syarikat kerana menjalankan satu rancangan yang amat besar, rancangan yang akan membuka mata kuasa besar lain di dunia. Mereka berdua telah berada di Amerika Syarikat semenjak bulan Oktober 2009, demi memastikan rancangan tersebut dijalankan dengan lancar.
            Semenjak awal pagi tadi, sesudah menunaikan solat Subuh, mereka berdua keluar berjalan kaki bermula dari hotel penginapan mereka sejauh kira-kira 15 kilometer dari White House, berjalan dan sekali sekala berlari-lari anak sehingga tiba di suatu kawasan berhampiran White House. Mereka melakukan aktiviti tersebut hampir setiap pagi, bukan sekadar untuk menjaga kesihatan masing-masing, bahkan untuk memastikan rancangan mereka berjalan lancar.
            “Hello there...Handsome,” sapa satu suara feminin.
            Mereka berdua langsung tidak terkejut mendengar suara mereka. Mereka berdua memalingkan muka dan mengukir senyuman kepada pemilik suara tersebut. Saiful menjawab bagi pihak mereka berdua.
            “Hello there and good morning to both of you too ladies,” sapa Saiful bagi dirinya dan Azhar.
            Kedua-dua gadis tersebut merupakan gadis jati Amerika Syarikat dan masing-masing berumur 21 tahun. Mereka berdua merupakan pelajar University of Bristol. Kedua-dua gadis tersebut langsung tidak menyedari bahawa kedua-dua pemuda di hadapan mereka akan membawa perubahan yang amat besar dalam sejarah peradaban dunia.
            Sebut sahaja mengenai Amerika Syarikat, hampir seluruh pelusuk dunia mengenali negara tersebut. Pemimpin negara tersebut menggunakan sepenuhnya nama memerangi keganasan untuk menjajah negara-negara merdeka yang lain.
            Sejarah telah menyaksikan penjajahan Amerika Syarikat ke atas negara Afghanistan pada tahun 2000, kononnya atas nama memerangi keganasan dengan mencari ketua bagi sebuah rangkaian yang mereka labelkan sebagai pengganas Islam yang bergelar “Al-Qaeda”, iaitu pemimpin mereka Osama bin Laden yang kononnya dipercayai berada di negara tersebut. Namun sehingga kini mereka masih gagal mencari sasaran utama mereka yang amat dikehendaki tersebut. Malah sehingga kini apa yang dicari mereka tidak ditemui, malah Afghanistan yang dahulunya sebuah negara yang merdeka, aman dan damai akhirnya berubah wajah menjadi sebuah negara yang diselubungi kancah persengketaan yang seolah-olah tiada penghujungnya.
            Selain daripada itu, Amerika Syarikat tanpa teragak-agak turut menuduh Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran. Walaupun pentadbiran negara tersebut menafikan dakwaan Amerika tersebut, negara barat tersebut tetap mendakwa negara Islam menghasilkan senjata pemusnah besar-besaran. Walaupun laporan daripada Persatuan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) membuktikan bahawa negara teluk tersebut tidak mempunyai senjata pemusnah besar-besaran, Amerika Syarikat tetap tidak mempercayainya dan atas nama mencari dan memusnahkan senjata tersebut, mereka tanpa teragak-agak menyerang dan menjajah negara yang pernah menjadi lambang keagungan agama ALLAH tersebut. Akhirnya, telah terbukti bahawa negara tersebut tidak mempunyai senjata tersebut sepertimana yang didakwa Amerika Syarikat dan negara yang berasal daripada tanah baru yang ditemui Christopher Columbus apa tahun 1800 tersebut terpaksa menerima balasannya.
            Saban hari, dilaporkan terdapat kematian askar Amerika Syarikat di negara tersebut akibat tindakan segelintir penduduk Iraq yang sememangnya tidak berpuas hati dengan perbuatan biadab sesetengah askar negara tersebut, termasuk tindakan mereka menyeksa tahanan di penjara Abu Gharib. Bahkan sehingga kini presiden Amerika Syarikat seringkali didesak supaya membawa pulang askar mereka yang berada di bumi emas hitam tersebut. Terdapat juga laporan yang manyatakan bahawa ramai askar Amerika Syarikat yang mengalami tekanan jiwa sepanjang berada di negara tersebut.
            Kesemua laporan tersebut masih kekal terpaut didalam kotak memori seorang pemuda yang bernama Azhar Bakar. Disebabkab itu dia berazam akan melakukan apa sahaja untuk memulihkan keadaan di negara Islam tersebut. Dia benar-benar hanyut dalam kenangannya sehinggalah Saiful Yusof, sahabat karibnya menegurnya.
            “Mari kita pergi Azhar. Urusan kita di sini telah selesai.”
            Azhar mengalihkan pandangannya ke arah kedua-dua gadis tersebut. Mereka melambaikan tangan mereka sambil mengorak langkah meninggalkan mereka diiringi senyuman manis penghias bibir masing-masing. Dia melambai tangannya sambil memulangkan senyuman.
            “Tarikh rancangan dilaksanakan adalah esok, jam 1000,” ujar sahabatnya.
            Azhar membalas ucapan rakannya dengan senyuman licik.


            Keesokan paginya, mereka berdua meneruskan aktiviti harian mereka seperti biasa, namun begitu mereka berhenti rehat di sebuah kafe berhadapan dengan White House. Saiful memilih untuk duduk membelakangi White House, manakala Azhar duduk menghadap sahabatnya itu.
            “Engkau pasti rancangan kita akan berjalan dengan lancar?” soal Azhar kepada Saiful, masih menuntut sesuatu yang bergelar kepastian daripada sahabatnya tersebut, sungguhpun dia sedar bahawa dia sudah bertanyakan soalan yang sama tersebut terhadap Saiful berulang-ulang kali.
            Saiful cuma mendiamkan diri. Perlahan-lahan dia mengacau kopi panas yang terdapat di dalam cawan di hadapannya dengan menggunakan sebatang sudu kecil. Kemudian, dia mengangkat cawannya dan menghidu kopi panas tersebut sambil menutup  matanya. Kemudian dia meneguk sedikit kopi panas tersebut dan meletakkannya kembali ke atas piring yang menjadi alas cawan tersebut. Dia berkelakuan  seolah-olah tidak mendengari soalan daripada kawan karibnya itu.
            Tiba-tiba dia mengukir senyuman, menandakan kepuasannya terhadap aroma dan rasa kopi panas tersebut. Sejurus kemudian, dia memandang sahabat baiknya sambil mengekalkan senyuman tersebut.
            “Jangan risau wahai sahabatku. Rancangan kita pasti akan dilaksanakan. Oleh itu wahai temanku, tidak perlu bagimu untuk berasa risau,” jawabnya dengan tenang. Walaupun Saiful dan Azhar mempunyai perwatakan yang amat ketara perbezaannya, mereka telah menjadi sahabat karib semenjak mereka berusia 7 tahun.
            “Aku minta maaf. Walaupun aku tahu aku seringkali bertanyakan soalan yang sama kepada engkau, namun aku amat risau sekiranya rancangan yang telah dirancang ini tidak akan terlaksana,” ujar Azhar melahirkan rasa kebimbangannya.
            Saiful sekadar tersenyum melihat ulah kawan karibnya itu.
            “Jangan risau. Engkau hanya perlu bertenang. Tunggu dan lihat. Segala-galanya akan berubah dalam masa...” Saiful melihat jam tangannya. “1 minit lagi. Jangan kelam kabut atau gopoh-gapah. Engkau hanya perlu bertenang.”
            Walaupun mendapat jaminan daripada sahabat baiknya sendiri, Azhar tetap tidak mampu bertenang. Keadaannya sekarang seolah-olah seorang ayah yang sedang menunggu kelahiran anaknya yang pertama.
            Saiful meneguk sedikit kopi panasnya. Sesudah itu dia berpaling menghadap sahabatnya. Azhar melihatnya dengan penuh tanda tanya.
            “Kenapa engkau memandang aku begitu?”
            Saiful hanya tersenyum apabila mendengar soalan sahabatnya itu. Namun demikian dia langsung tidak menjawab soalan tersebut.
            “Bertenang, Azhar,” nasihatnya sambil melihat jam di pergelangan tangan kirinya.
            “Masih ada kira-kira 15 saat. 10, 9, 8, 7, 6, 5, 4, 3, 2, dan...1.” Sesudah itu, dia meneguk kopi panasnya.
            Selang beberapa minit kemudian, seluruh Amerika Syarikat dan penduduk dunia dikejutkan dengan berita yang hampir tidak mampu dipercayai oleh logik akal iaitu berita mengenai letupan besar yang menghancurkan White House bahkan kejadian yang serupa turut menimpa Pentagon, yang menyebabkan pusat pertahanan negara Uncle Sam tersebut musnah sama sekali, sekaligus melenyapkan keangkuhan Amrika Syarikat yang mengatakan Pentagon dan White House adalah sama sekali selamat dan tidak mungkin boleh dihancurkan oleh anasir luar.
            “Misi pertama selesai. Misi seterusnya baru sahaja bermula. Maklumkan kepada mereka berdua bahawa perjuangan yang sebenar baru sahaja bermula.”
            

Monday, 5 March 2012

Tuhan Lebih MenyayangiMu Berbandingku

Prolog
            Telefon bimbit kepunyaannya berbunyi, menandakan dia baru sahaja menerima pesanan teks. Dia terus mencapai telefon bimbitnya itu dan melihat isi kandungan pesanan teks yang baru sahaja diterimanya itu. Datangnya daripada seniornya yang juga merupakan pelajar universiti tempat dia melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.
            Assalamua’laikum, Liza. Ni abang Lan. Abang ingin meminta sedikit pertolongan daripada Liza. Harapnya Liza sudi membantu.
            Setelah memikirkan jawapan yang sesuai, dia membalas pesanan teks tersebut.
            Waa’laikumussalam warahmatullah. Apa dia abang Lan? Saya akan cuba setakat yang saya termampu.
            Selang 2 minit, mesejnya mendapat balasan.
             Abang ingin berjumpa dengan Liza. Terdapat satu perkara yang amat penting untuk abang  maklumkan kat  Liza. Abang ingin berjumpa terus dengan Liza, pada hari Sabtu ni. Harapnya Liza tak keberatan. Hari Sabtu ni kat kafeteria universiti.
            Dia agak terkejut mendengar permintaan seniornya itu. Setelah mempertimbangkan segala kemungkinan, dia membalas kembali pesanan teks tersebut.
            InsyaALLAH. Hari Sabtu ini di kafeteria. Jika terdapat sebarang perubahan, saya akan maklumkan kepada abang Lan.













1
            Pada Sabtu pagi yang telah dijanjikan, Liza, ataupun nama penuhnya Hasliza telah pun sedia menunggu di kafeteria universiti tersebut. Dia menghantar pesanan teks kepada seniornya itu, memaklumkan kehadirannya yang lebih awal daripada masa yang dijanjikan.
            Assalamua’alaikum abang Lan. Maaf kalau mengganggu. Saya kat kafeteria ni. Saya tunggu abang kat sini.
            Selang setengah minit kemudian, dia mendapat pesanan teks.
            Waa’alaikumussalam warahmatullah. Abang on the way ke kafeteria ni. Kejap lagi abang sampai.
            Dia termenung. Di universiti tempat dia menyambung pengajian, tiada siapa yang tidak mengenalinya. Hasliza Hashim, pelajar terbaik untuk semesternya. Bukan sahaja cemerlang dalam pengajian, malah dia turut menunjukkan prestasi yang amat membanggakan dalam kokurikulum. Jika dilihat pada penampilannya, pasti ramai yang beranggapan dia seorang pelajar yang hanya mengutamakan prestasi akademiknya sahaja. Walaupun mengambil jurusan perubatan, namun penampilannya saling tidak tumpah seperti seorang siswi yang menyambung pengajian dalam bidang agama, kerana dia memakai tudung labuh yang menutup dadanya dan juga jubah ataupun baju kurung setiap kali menghadiri kuliah dan juga tutorial. Selain daripada itu, terdapat ramai siswa yang menaruh perasaan terhadapnya. Namun demikian, setiap kali mereka meluahkan isi hati terhadapnya, dia terpaksa menolaknya secara baik. Dia sama sekali tidak mempercayai akan percintaan sebelum pernikahan. Baginya, cintanya hanya untuk suaminya seorang sahaja, dan pintu hatinya belum lagi terbuka untuk menerima seorang insan yang bergelar lelaki dalam hidupnya.
            “Kenapa abang Lan ingin berjumpa dengan aku? Apakah perkara yang teramat penting yang hendak disampaikannya? Ya ALLAH, tabahkanlah dan tenteramkanlah hatiku.”
            Sedang dia hanyut dalam khayalannya sendiri, dia tidak menyedari kehadiran Lan, atau nama penuhnya, Syed Muhammad Azlan Syed Muhammad Zainuddin yang telah pun berada di hadapannya.
            “Assalamua’laikum  Hasliza. Jauh termenung.” Dia bersuara, memulakan bicara. Bagaikan terkena renjatan elektrik, dia tersedar lalu terus menjawab salam suci tersebut.
            “Waa’alaikumussalam warahmatullah, abang Lan. Takde apa-apa. Apa perkara teramat penting yang abang Lan mahu sampaikan pada saya?”
            “Straight to the point nampaknya dia ni. Aku kena berhati-hati dalam menyusun kata-kata aku nampaknya.”
            “Sabar, Liza. Kalau ya pun, berilah masa untuk abang menghilangkan lelah terlebih dahulu.”
            “Saya ingatkan abang Lan hadir ke sini menaiki motor abang Lan.”
            “Heh. Setakat mahu ke kafeteria, lebih baik jika abang berjalan kaki. Bukan saja berpeluang untuk mengeluarkan sedikit peluh, malah badan pun bertambah sihat.”
            Hasliza hanya tersenyum mendengar jawapan pemuda tersebut. Dia telah pun menganggap lelaki di hadapannya itu sebagai abangnya sendiri, lantaran dia merupakan anak sulung daripada 5 orang adik beradik dan juga layanan dan perhatian yang diterimanya daripada Azlan. Setelah beberapa ketika, Azlan memulakan bicaranya.
            “Izinkan abang berbicara secara formal.”
            Dia hanya menganggukkan kepalanya apabila mendengar ayatnya itu, tanda memberi keizinan. Azlan menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum menjelaskan kepada siswi di hadapannya itu perkara teramat penting yang dimaksudkannya.
            “Sebelum abang menjelaskan perkara yang abang maksudkan, abang amat berharap agar selepas abang menjelaskan hal yang sebenarnya ini, kita masih berhubungan seperti biasa.”
            Dia hanya menganggukkan kepalanya dan memberikan isyarat kepada Azlan supaya meneruskan ucapannya.
            “Assalamua’laikum, Hasliza. Sebenarnya benda ni dah lama abang simpan, pada mulanya abang tak ingin sampaikan kat Hasliza, tapi makin lama abang simpan, makin benda ni mengganggu abang. Abang tak mahu pengajian abang terganggu disebabkan perkara ni. Abang dah banyak kali melakukan solat sunat istikharah dengan harapan akan diberikan jawapan yang sebaik-baik jawapan, dan abang pasti ini adalah jawapan daripada istikharah yang telah abang lakukan. Sebenarnya, abang menyayangi Hasliza lebih daripada kasih sayang seorang abang terhadap seorang adik. Niat abang di sini bukannya untuk mempermainkan hati dan perasaan Hasliza, jauh sekali mengecewakan dan menyakitkan Hasliza. Namun, abang tak nak “couple” dengan Hasliza, kerana perkara ini tak dibenarkan dalam Islam. Abang amat berharap Liza memahami perasaan dan situasi abang sekarang ni. Abang nak ikut kaedah yang telah dilandaskan syarak. Abang bercadang untuk menyunting Hasliza selepas abang tamat pengajian. Dan jika ada rezeki, dan telah ditentukan bahawa jodoh abang adalah Hasliza, maka abang ingin mengambil Hasliza sebagai teman hidup abang. Abang amat berharap Liza memahami situasi abang. Abang tak nak dan takkan paksa Hasliza. Lagi satu, abang akan sentiasa menunggu jawapan daripada Hasliza, tak kira berapa lama masa yang Hasliza perlukan. Abang telah pun menghubungi dan berjumpa kedua ibu ayah Liza. Mereka minta abang menyatakan sendiri hasrat abang kepada Liza. Ibu dan ayah abang turut bersetuju dengan hasrat abang.”



















2
            Dia bagaikan disambar petir apabila mendengar pengakuan daripada pemuda tersebut. Dia sama sekali tidak menyangka, seorang pemuda yang selama ini dianggapnya sebagai seorang abang, telah lama menyimpan dan menaruh perasaan terhadapnya.
            “Maafkan saya, namun berapa lama abang telah merahsiakan perkara ini?”
            “Semenjak dari minggu pertama abang berjumpa Hasliza di sini. Jika tiada apa-apa, abang minta diri terlebih dahulu. Hasliza fikirkanlah yang mana terbaik untuk Hasliza. Abang sentiasa menanti jawapan. Jawapan yang ikhlas datangnya daripada Hasliza sendiri, jawapan yang ikhlas dan tulus daripada hati Hasliza sendiri. Abang balik dulu. Assalamu’alaikum.”
 Tanpa menunggu sebarang jawapan daripada gadis tersebut, dia melangkah meninggalkan kafeteria tersebut.
“Wa...Waa’laikumussalam warahmatullah...” tergagap-gagap dia menjawab salam suci tersebut. Apa yang harus aku lakukan sekarang???
















3
Azlan melangkah masuk ke biliknya. Dia terus menghidupkan komputer ribanya lalu menaip sesuatu. Dia menaip sambil tersenyum kepada dirinya sendiri.
“Alhamdulillah. Selesai sudah masalah aku. Sekarang ni, aku boleh teruskan dengan tugasan yang hanya menanti masa untuk diselesaikan. Harapnya tiada sebarang permasalahan yang akan mengganggu aku lagi selepas ini. Ya ALLAH,aku bersyukur dan berterima kasih kepadaMu yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kerana telah memberikan aku kekuatan yang amat aku perlukan untuk meluahkan perasan yang selama ni aku simpan. Ya ALLAH, aku sekali lagi memohon bantuanMu, berilah aku kekuatan un...”
Sedang dia leka menaip, serta merta dia merasakan kesakitan yang amat menyakitkannya menyerang jantungnya. Dia terjatuh dari kerusinya sambil kedua-dua tangannya diletakkan di dada kirinya, dia berguling-guling di atas lantai menahan kesakitan. Terasa seolah-olah jantungnya dipicit-picit dan diramas-ramas seolah-olah jantungnya akan pecah pada ketika itu juga.
Ya ALLAH...matikanlah aku dalam keadaan aku beriman kepadaMu...
Dengan penuh kepayahan dia mengucapkan kata-kata tersebut. Setelah menanggung kesakitan untuk beberapa ketika, kesakitan tersebut hilang dengan sendirinya. Termengah-mengah dia bernafas. Mujurlah kesemua rakan serumahnya tiada. Dia merahsiakan kesakitannya itu, kerana tidak mahu menyusahkan mereka semua.
Nampaknya semakin menjadi-jadi kesakitan yang menyerang aku ni. Aku harus bersedia dengan sebarang kemungkinan.
Dia mengeluarkan beberapa helai kertas lalu mula menulis surat kepada seseorang. Beberapa ketika kemudian, dia melipat kemas lembaran tersebut, memasukkanya ke dalam sehelai sampul surat lalu menyelitkannya ke dalam salah sebuah buku bacaannya.
Aku amat berharap agar dia tak perlu baca warkah ni.




4
            Keadaan di asrama universiti tersebut ketika ini senyap sunyi. Jarum jam tepat menunjukkan ke angka 3. Hampir kesemua penghuni asrama tersebut sedang lena dibuai mimpi, termasuklah seorang siswi yang bernama Hasliza Hashim. Keadaan tidurnya tidak tenteram, kerapkali dia mengubah kedudukannya, sebentar mengiring ke kanan, sebentar kemudian mengiring ke kiri. Keadaan tersebut berterusan beberapa ketika. Akhirnya, dia terjaga.
            “Ya ALLAH!!!”
            Termengah-mengah dia bernafas.
            Mimpi rupanya. Ya ALLAH, Yang Maha Melindung lagi Maha Mengetahui, aku berlindung dengan perlindunganMu daripada gangguan syaitan dan iblis yang direjam.
            Dia melihat skrin telefon bimbitnya. Dilihatnya waktu ketika itu ialah jam 3:23 pagi. Lantas dia bangun lalu menuju ke bilik air. Setelah membersihkan diri dan berwudhuk, dia menunaikan solat sunat Tahajjud dan juga solat sunat Istikharah. Setelah selesai, dia mengingat kembali mimpi yang dialaminya sebentar tadi. Mimpi berkaitan dengan Syed Azlan.
            Dalam mimpinya itu, dia dikelilingi kabus yang amat tebal, namun semua itu hilang seiring dengan kemunculan pemuda tersebut. Dia mengikut pemuda tersebut yang membawanya ke jalan yang lurus, jalan yang diterangi cahaya yang amat terang, tetapi tidak menyakitkan matanya. Sejurus kemudian, Azlan berpaling menghadapnya seraya menghulurkan tangan kanannya sambil tersenyum. Ketika dia teragak-agak untuk menyambut tangan pemuda tersebut, pemuda tersebut seolah-olah ditarik ke belakang oleh sesuatu yang tidak diketahui. Dia berlari mengejarnya, sebaik tangannya hampir mencapai tangan pemuda tersebut, Azlan terus ditelan bayangan hitam dan terus menghilang. Tinggallah dia keseorangan di jalan yang telah dilaluinya bersama Azlan sebentar tadi. Selepas itu dia terus terjaga.
            Apakah maksud mimpi ini? Adakah ini sesuatu penanda yang berkaitan dengan Abang Azlan?



5
            Syed Azlan sedang sibuk menaip tugasan yang diamanahkan oleh pensyarahnya kepadanya. Dia memberikan perhatian sepenuhnya tanpa memikirkan perkara yang tidak berkaitan dengan tugasannya ketika ini. Dia amat berharap agar dia mampu menyelesaikan tugasannya itu secepat yang mungkin. Sedang dia leka menaip, telefon bimbit kepunyaannya berbunyi. Dia terus mencapai alat komunikasi tersebut lalu terus menjawab panggilan tersebut.
            “Assalamua’laikum...ya saya...sedang bercakap...apa? benarkah perkara ini tuan? Saya hanya mampu mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama daripada pihak tuan. Baiklah...saya faham...terima kasih sekali lagi...Waa’alaikumussalam warahmatullah.”
            Alhamdulillah...terima kasih wahai Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Aku memanjatkan kesyukuran kepadaMu Ya ALLAH...terima kasih kerana kau telah memperkenankan doa dan hajatku. Man jadda wa jadda!
            Permohonannya untuk mendapatkan biasiswa melanjutkan pelajaran telah pun diluluskan. Bukan itu sahaja, malah pekerjaan untuknya sebaik sahaja tamat pengajian telah pun tersedia. Apa yang tinggal baginya hanyalah mempergiatkan lagi usahanya dan meningkatkan lagi prestasinya. Sekali lagi telefon bimbit kepunyaannya berbunyi. Terus sahaja dia menjawab panggilan tersebut.
            “Assalamua’alaikum ayah...kenapa? Minggu depan? Along belum pasti lagi. Kenapa? Apa? Astaghfirullah hal azim...baiklah...Along akan cuba pulang secepat yang mungkin...waa’laikumussalam warahmatullah.”
            Sebaik sahaja menamatkan panggilan tersebut, dia menangis semahu-mahunya. Datuk kesayangannya dimasukkan ke hospital akibat kegagalan fungsi jantung. Mujurlah doktor yang bertugas berjaya menyelamatkan nyawanya. Membuatkan hatinya bertambah sayu dan pedih, datuknya menyatakan kerinduan terhadap dia, cucu kesayangannya yang telah dibesarkan sebaik mungkin berbekalkan ilmu sebagai panduan untuk perjalanan hidup di dunia dalam mengecapi kebahagiaan di akhirat. Setelah membulatkan tekad, dia mengambil keputusan untuk pulang ke pangkuan keluarganya pada keesokan hari. Dia berjanji dia akan sentiasa di sisi datuknya apabila dirinya diperlukan.


6
            Hasliza Hashim ketika ini sedang berdiri di hadapan pintu bilik pensyarahnya. Dia ketika ini sedang berada dalam dilema berkaitan dengan pengakuan ikhlas Syed Azlan. Tidak dinafikan, dia menyayangi pemuda tersebut, namun dia sama sekali tidak menyangka pemuda tersebut menyimpan perasaan terhadapnya. Setelah mengumpul segala kekuatan yang diperlukan, dia mengetuk pintu bilik pensyarahnya itu.
            “Masuk!” kedengaran arahan daripada dalam. Dia melangkah masuk sambil mengucapkan kalimah suci.
“Waa’alaikumussalam warahmatullah. Selamat datang Hasliza. Apa yang membawa awak berjumpa dengan saya?”
“Ustaz, saya tahu ustaz berkelulusan bidang perubatan islam dari universiti Al-Azhar. Saya ingin meminta pandangan ustaz berkaitan dengan sesuatu.” Dia berkata, lancar dan tenang.
            “Tak perlu awak maklumkan pada saya, ada seorang siswa meluahkan perasaan yang selama ini terbuku dalam hatinya kepada awak, bukan?”
            “Apa? Bagaimana ustaz tahu?”
            Pensyarahnya itu hanya tersenyum.       
            “Saya mampu mengagak pemikiran seseorang melalui reaksi dan air muka mereka. Ketika awak hadir untuk kuliah saya jam 8:00 pagi tadi, saya sedar ada permasalahan yang mengganggu awak. Boleh saya tahu siapa siswa yang meluahkan isi hati pada awak?”
            “Siswa itu ialah...”
            Kedengaran pintu bilik diketuk dari luar.
            “Masuk!”
            Syed Azlan melangkah masuk dalam keadaan tergopoh-gapah. Terus sahaja dia melangkah masuk dan menghulurkan sehelai borang kepada dekan fakulti tersebut. Termengah-mengah dia bernafas. Atas sebab yang tidak dapat dielakkan, dia terpaksa menunda kepulangannya ke hari Isnin.
            “Borang kebenaran pulang ke rumah? Kenapa kamu tiba-tiba sahaja mahu pulang ke rumah?”
            “Datuk saya sedang sakit kuat, ustaz. Saya perlu pulang secepat yang mungkin.”
            “Berapa lama kamu mahu pulang ke kampung? Seminggu? Sebentar ya.”
            Dia terus mengeluarkan sebatang pen lalu menandatangani borang yang disampaikan oleh Syed Azlan.
            “Jangan kembali ke sini selagi belum selesai urusan keluarga kamu. Dah. Sekarang, pergi balik!” Niatnya hanya untuk bergurau sambil tersenyum.
            “Ustaz pasti?” dia bertanya dengan air muka yang berkerut.
            “Saya pasti. Tambahan pula dengan pencapaian kamu selama ini, jika saya berikan kamu kebenaran untuk pulang selama sebulan, saya pasti tindakan saya tidak akan menggangu pencapaian kamu.”
            “Terima kasih, ustaz. Saya minta diri dulu. Assalamua’laikum.” Salam sucinya itu berjawab. Sebelum dia melangkah keluar, Syed Azlan sempat memberikan sekuntum senyuman kepada Hasliza. Hasliza tunduk menahan malu.
            “Siswa yang saya maksudkan ialah...” Dia menyambung semula ayatnya setelah pemuda tersebut melangkah keluar.
            “Pemuda yang melangkah masuk sebentar tadi, bukan? Syed Muhammad Azlan bin Syed Muhammad Zainuddin. Memegang jawatan sebagai Exco Akademik Majlis Perwakilan Mahasiswa Mahasiswi universiti ini. Bukan sahaja itu, malah turut memegang jawatan sebagai Exco Disiplin dan Akademik asrama lelaki dan juga memegang jawatan sebagai Imam Dua masjid universiti kita, seorang pelajar yang amat cemerlang dalam bidang akademik dan juga kokurikulum. Sentiasa mencatat keputusan 4.00 untuk setiap semester dari semester 1 hingga sekarang. Pernah mewakili Melaka untuk acara olahraga dalam Sukan Malaysia, malah turut memenangi pingat emas untuk negeri Melaka.”
            Hasliza terkesima mendengar makluman daripada Ustaz Razman. Dia memang sedia maklum pemuda tersebut menunjukkan prestasi yang mengagumkan dalam bidang akademik dan kokurikulum, namun pada pandangannya, perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan pencapaian yang telah dicapai oleh Syed Azlan adalah menakjubkan.
            “Ustaz rasa saya patut menerimanya atau sebaliknya?”
            “Syed Azlan ada menyatakan sesuatu berkaitan dengan landasan syarak atau tidak?”
            “Dia mengatakan bahawa dia tidak mahu “couple” dengan saya kerana perkara sedemikian pada pandangannya hanya membawa kepada kemudaratan. Dia turut menyatakan dia mahu melakukannya mengikut garis panduan yang telah ditetapkan agama. Jika diizinkan ALLAH, dia ingin mengikat tali pertunangan dengan saya, dan jika segalanya berjalan dengan lancar, dia ingin bernikah dengan saya.”
            “Pada pandangan ustaz, tak salah tindakannya itu. Dia bijak menangani perasaan cinta yang hadir dalam dirinya. Namun, pilihan terbaik bagi kamu adalah melakukan solat sunat Istikharah dengan niat akan diberi sebaik-baik petunjuk dan jawapan daripada ALLAH. Jika kamu perlukan sebarang bantuan berkaitan dengan hal ini, maklumkan saja pada ustaz. Ustaz sedia membantu.”
            “Syukran jazilan ya ustaz.”
            “Afwan.”



















7
            Syed Muhammad Azlan menutup mukanya dengan kedua-dua tapak tangannya. Baginya, dunia teramat gelap gelita, seolah-olah cahaya matahari tidak lagi memancar menerangi dunia ini. Tidak dinafikan, dia sentiasa tabah menghadapi ujian dan dugaanNYA, namun demikian, baginya, ujian yang mengujinya kali ini terlalu berat. Dirinya dihambat rasa bersalah yang teramat. Kesemua ahli keluarganya, saudara maranya hanya mampu menumpang simpati. Pada pandangan mereka, adalah lebih baik jika mereka membiarkannya keseorangan.
            Sebaik sahaja dia menjejakkan kakinya ke rumah pusaka tersebut, dia diberitahu datuknya sedang nazak. Terus sahaja dia berlari mendapatkan datuknya yang sedang bertarung dengan maut. Sebaik sahaja terpandang wajahnya, datuknya mengukir senyuman, dan, dengan kehendakNYA, datuknya pergi meninggalkannya, tidak akan kembali semula untuk selama-lamanya. Syed Muhammad Zainuddin datang mendapatkannya lalu memegang bahunya.  
            “Ayah tahu perasaan Along ketika ini. Luahkanlah, Along. Along tak perlu malu. Kita di sini semua bersedih dengan pemergiannya.”
            Azlan mengangkat muka menghadap ayahnya. Kelopak jernih mula terbentuk di hujung matanya. Lantas dia memeluk ayahnya lalu menangis sepuas-puasnya di dalam pelukan lelaki separuh abad itu. Saudara maranya yang berada di situ turut mengalirkan air mata kesedihan. Dia sememangnya teramat rapat dengan arwah datuknya, malah arwah datuknya yang bertanggungjawab membesarkannya, lantaran ayah dan ibunya terpaksa berhijrah ke luar negara atas tanggungjawab kerja.
            Keesokan paginya, urusan pengebumian jenazah arwah datuknya dilakukan. Azlan turut sama membantu. Dia masih lagi dihimpit rasa bersalah lantaran tidak berada di sisi arwah datuknya, ketika dirinya amat diperlukan. Sejurus sebelum jenazah datuknya dikebumikan, dia memberi ciuman terakhir, tanda kasih sayangnya terhadap datuknya yang telah membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Sejurus jenazah datuknya selamat dikebumikan, gerimis turun, seolah-olah menandakan penghuni langit turut bersedih dengan pemergian datuknya. Walaupun ditimpa gerimis, dia tetap duduk bersila beralaskan tikar mengkuang di sisi pusara arwah datuknya. Sedang dia membiarkan dirinya dibasahi gerimis, ayahnya datang bersama sekaki payung.
            “Yang telah pergi tetap akan pergi, Along. Jika Along benar-benar sayangkan arwah datuk, Along doakan semoga dia bersama dengan orang-orang yang berada di bawah payungan rahmatNYA.”
            “...Hazlan dah dimaklumkan mengenai perkara ini?”
            “Belum lagi. Ketika ini dia sedang menjalani peperiksaan akhir. Ayah tak mahu tumpuannya terganggu.”
            “Along faham.” Dia berkata sambil berdiri. Kemudian dia bergerak bersama ayahnya meninggalkan tanah perkuburan tersebut.























8
            Hatinya serba tidak tenteram pada hari ini. Atas faktor-faktor tertentu, nalurinya kuat mengatakan bahawa ada sesuatu yang akan terjadi, yang akan memberi kesan yang besar ke atas dirinya sendiri. Teman sebiliknya, Rafika hanya memerhatikan sahaja.
            “Kenapa dengan kau ni, Liza? Macam duduk atas bara api saja.”
            “Aku rasa macam ada sesuatu yang akan berlaku. Tapi aku tak tau apa dia.”
            “Mainan perasaan kau aje tu. Hah, apa keputusan kau mengenai dengan senior Azlan tempoh hari?”
            Mukanya merah padam menahan malu. Sepanjang tempoh masa seminggu yang lepas, dia berterusan melakukan solat sunat Istikaharah dan solat sunat Hajat dengan harapan akan mendapat jawapan yang terbaik untuk dirinya sendiri.
            “Sebenarnya...aku dah pun dapat jawapan yang aku nak.” Perlahan sahaja dia bersuara.
            “Kau menolak ke Liza?” Dia menggelengkan kepala.
            “Kiranya kau terima luahan perasaan senior Azlan?” Tiada reaksi.
            “Nak kata kau menolak, tak. Terima pun tak. Apa la kau ni.” Ketika itu Rafika sedar Hasliza menganggukkan kepalanya. Sedikit sahaja. Hampir tidak kelihatan oleh mata kasar perbuatannya itu.
            “Kau ni, Liza. Kau terima atau pun tak?”
            “Aku buat pilihan yang kedua.”
            “Frust menonggeng la jawabnya senior Azlan nanti.”
            “Maksud aku, ketika kau tanya aku menolak atau menerima, aku memilih pilihan jawapan yang kedua.”
            Mendengar jawapan teman sebiliknya itu, Rafika tersenyum.
            “Pada pandangan aku, pilihan kau tu memang sesuai. Jawapan yang teramat tepat.”
            Hasliza hanya tersenyum sambil mukanya bertambah merah menahan malu.




9
            Azlan menghidupkan motosikalnya. Setelah itu dia bersalaman dengan kesemua ahli keluarganya dan saudara maranya.
            “Along pasti Along tak mahu ayah hantarkan Along pulang ke universiti?”
            “Tak perlu. Along mampu untuk pulang sendiri. Lagipun, Along tak mahu ayah bersusah payah untuk Along. Sudah tiba masanya untuk Along menghadapi segala cabaran dan ujian yang mendatang secara bersendirian.
            “Bagaimana dengan perjumpaan dengan keluarga Hasliza?”
            “Buat masa sekarang, Along tidak mahu memikirkannya, ibu. Tunggulah apabila tiba masanya nanti. JIKA ALONG MASIH DIBERI MASA DAN KESEMPATAN.
            “Baiklah. Ibu dan ayah faham. Berhati-hati bawak motor. Berhenti jika penat.” Ibunya mengingatkan.
            Walaupun telah berkali-kali dipujuk, namun Azlan tetapdengan keputusannya untuk pulang sendiri ke asrama universitinya.
            Dia menyalam kedua-dua ibubapanya dan mencium dahi mereka. Dia menaiki motosikalnya, mengeluarkan telefon bimbitnya dan menaip seketika. Sesudah itu, dia terus bergerak meninggalkan perkarangan rumah arwah datuknya. Ketika itu juga, telefon bimbit kepunyaan ayahnya berbunyi. Terdapat satu pesanan teks.
            “Ayah dan ibu. Along meminta supaya ibu dan ayah menghalalkan apa sahaja yang telah Along makan dan gunakan. Maafkan Along atas segala salah silap dan dosa yang telah Along lakukan. Doakan agar Along selamat menempuh perjalanan yang akan mendatang. Wahai ayah dan ibuku, ampunkanlah anakmu ini di atas segala kekhilafan yang telah dilakukan. Wassalam.
-ALONG
             “Apa kena dengan anak bujang kita ni?” Syed Muhammad Zainuddin bertanya kepada isterinya setelah membaca mesej tersebut.
“Manalah saya tau. Sepatutnya awak yang lebih memahaminya. Kalau diikutkan perangai Along tu, jika dia ada masalah pun, dia lebih suka mendiamkan saja.”
Azlan menunggang motornya dengan kelajuan sederhana. Ketika ini, dia dalam perjalanan pulang ke asrama universitinya. Terlebih dahulu, dia menghantar pesanan teks kepada Hasliza menyatakan kepulangannya. Kenangannya bersama arwah datuknya bermain-main di fikiran. Ketika dia berhenti di tepi sebatang jalanraya yang lurus untuk membaca pesanan teks yang dihantar oleh Hasliza, dia melihat seorang budak lelaki sedang bermain bola berseorangan. Entah di mana silapnya, bola tersebut bergolek ke tengah jalanraya. Budak lelaki tersebut terus sahaja berlari ke tengah jalanraya untuk mendapatkan bola tersebut, tanpa memerhatikan sekelilingnya terlebih dahulu. Sebuah bas meluncur laju ke arah budak tersebut. Pemandunya yang terkejut, menekan brek secara mengejut sambil menekan hon berkali-kali. Menyedari budak tersebut dalam bahaya, Azlan terus sahaja melompat dari motornya, menolak budak tersebut mengakibatkannya tercampak ke tepi jalanraya. Dia terduduk di tengah jalanraya sambil bas tersebut terus meluncur laju ke arahnya.
Aku tak sangka begini akhirnya. Datuk, saya akan menemani datuk sebentar lagi. Tiada tuhan melainkan ALLAH dan nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH.
Dia tersenyum. Segalanya berlaku dengan terlalu pantas, diakhiri dengan bunyi dentuman kuat dan tumpahan darah merah di tengah jalanraya.

















10
Mereka semua keresahan. Jarum jam sudahpun menunjukkan angka 7, namun orang yang ditunggu-tunggu masih belum kunjung tiba. Tidak pernah dia lambat sebegini. Selalunya, orang yang mereka tunggu itulah yang paling awal pulang antara mereka berlapan.
“Zaidi, kau dah cuba telefon dia?” Teman serumahnya Safwan bertanya.
“Lebih sepuluh kali aku cuba telefon dia, namun tak berjawab.”
“Mak dia? Ayah dia?” giliran Hasrul pula bertanya.
“Mak dan ayah dia mengatakan dia telah pun bertolak awal pagi tadi.” Mereka bertujuh dihimpit rasa resah yang teramat. Tidak pernah dia pulang selewat ini. Seketika kemudian telefon bimbit kepunyaan Zaidi berbunyi.
Hasliza? Kenapa dia telefon aku? “Assalamua’laikum, Hasliza. Zaidi bercakap. Apa? Awak pun sama? Hantar pesanan teks tapi tak mendapat balasan? Malah telefon pun tak berjawab? Tak. Dia belum sampai. Beginilah, bila saya dapat apa-apa maklumat saya akan maklumkan kepada awak. Sama-sama. Waa’alaikumussalam warahmatullah.” Sebaik sahaja dia menamatkan panggilan, penyelia asrama mereka, Encik Zulkifli melangkah masuk ke rumah mereka.
“Assalamua’alaikum semua. Abang pasti kamu sedang tertanya-tanya ke mana perginya Azlan. Abang harap kamu semua tabah menghadapi berita yang akan abang sampaikan.”
“Apa maksud abang?” Hasrul bertanya.
“Syed Muhammad Azlan terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke sini. Dia meninggal dunia di tempat kejadian.”
“Abang Zul, kalau nak bergurau pun biar bertempat.” Zaidi bersuara. Melihat reaksi penyelia mereka yang hanya mendiamkan diri, barulah mereka menyedari penyelia mereka tidak bergurau. 
            “Jangan simpan perasaan kamu. Luahkan saja. Abang tahu kamu turut berasa sedih dengan pemergian dia.” Mendengar ayat tersebut, perlahan-lahan air mata ketujuh-tujuh mereka mengalir. Azlan seumpama seorang anak sulung yang bertanggungjawab menjaga kebajikan mereka bertujuh. Walaupun mereka tiada pertalian darah namun hubungan antara mereka berlapan teramat rapat. Terutamanya Zaidi yang merupakan anak sulung, dia telah pun menganggap Azlan sebagai abangnya sendiri. Sedang kesemua mereka bersedih, telefon bimbit kepunyaan Zaidi sekali lagi berbunyi. Panggilan telefon daripada Hasliza.
“Kamu tak mahu jawab panggilan tu?”
            “Daripada Hasliza, abang Zul. Dia ingin tahu ke mana perginya Azlan.”
“Biar abang yang menjawab panggilan.” Telefon bimbit kepunyaan Zaidi bertukar tangan.
“Assalamua’laikum. Zaidi tiada ketika ni. Yang sedang bercakap ni abang Zul. Berkaitan dengan Syed Azlan, abang akan berjumpa dengan kamu sekarang. Waa’laikumussalam warahmatullah.”
Ya ALLAH, tabahkanlah hati-hati kami dalam menghadapi ujian daripada Mu.




















11
“Abang Zul, abang pasti untuk maklumkan perkara ni pada Hasliza?”
            “Lambat laun dia pasti akan tahu juga, Zaidi. Lebih baik jika kita maklumkan kepada dia sekarang.”
Sejurus kemudian, Zulkifli bergerak menuju ke asrama siswi yang terletak tidak jauh dari asrama siswa. Dia turut berpesan kepada Hasliza supaya membawa kawannya bersama. Namun, Hasliza hadir bersama kedua orang tuanya.
“Selamat berkenalan, Tuan Haji Hashim. Saya Zulkifli, penyelia asrama siswa.”
“Selamat berkenalan. Tujuan saya dan isteri saya hadir adalah untuk berjumpa dengan Azlan. Hasliza telah bersedia dengan jawapannya.”
“Encik Zul, saya hantar mesej kepada abang Azlan. Tapi tak berbalas.” Hasliza memberitahu.
“Apa isi kandungannya?”
“Sekadar menyatakan bahawa kedua ibubapa saya ingin berjumpa dengan abang Azlan.”
“Begini halnya, Tuan Haji Hashim, Hajah Latifah, Hasliza, kita selaku manusia hanya mampu merancang, namun ALLAH yang menentukan setiap sesuatu. Kita hanya hambaNya yang hina.”
“Apa yang encik Zulkifli ingin cuba sampaikan?”
“Begini, Tuan Haji Hashim. Syed Muhammad Azlan terlibat dalam kemalangan jalanraya ketika dalam perjalanan pulang ke sini. Dia meninggal dunia di tempat kejadian.”
Sekali lagi dia menerima kejutan yang sama sekali tidak pernah dijangka.
 “Encik Zulkifli jika hendak bergurau pun harus kena pada tempat dan masanya. Tidak perlu melibatkan hal-hal berkaitan dengan kematian.” Dia cuba menafikan berita yang baru sahaja diketahuinya itu.
“Saya tahu bila masanya untuk bergurau dan berterus terang, Hasliza. Berita ini disahkan sendiri oleh pihak hospital dan juga keluarga arwah sendiri.”
Serta merta dia merasakan kesakitan yang teramat di dalam dadanya. Dia menutup mukanya menggunakan kedua-dua tangannya dan menundukkan wajahnya. Dia cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan tangisannya yang tidak mampu ditahan-tahan lagi. Ibunya mendekatinya lantas memeluknya.
“Luahkan saja, Liza. Tak perlu kamu sembunyikan kesedihan kamu. Jika arwah masih hidup, dia pasti tak mahu kamu bersikap hipokrit terhadap diri kamu sendiri.”
Mendengar ayat yang diungkapkan ibunya itu, dia menangis teresak-esak dalam pelukan ibunya. Sesungguhnya, dia dan Syed Azlan hanya mampu merancang, sedangkan ALLAH jua yang menentukan. Tuan Haji Hashim dan Encik Zulkifli turut sama mengalirkan air mata kesedihan.























12
Seminggu telah pun berlalu. Mereka yang telah pergi menemui yang Maha Esa tetap tidak akan kembali. Bagi mereka yang masih diberi peluang untuk bernafas dan bermastautin di bumi ciptaanNya, hidup ini harus diteruskan. Pemergian Syed Azlan amat dirasai oleh semua yang mengenali dirinya, termasuklah kesemua pelajar universiti tempat dia melanjutkan pengajian. Dia amat dikenali lantaran sikapnya yang sedia membantu sesiapa sahaja dan juga amat peramah terhadap sesiapa sahaja.
Zaidi ketika ini sedang membantu keluarga arwah Syed Azlan mengemas barang-barang kepunyaannya. Ketika sedang mengemas buku-buku pengajiannya, sepucuk surat terkeluar dari sisipan buku bacaannya. Zaidi mengutip surat tersebut. Sebaik sahaja terpandang nama penerima surat tersebut, dia lantas menghubungi penerimanya. Baginya, surat itu adalah satu amanah yang harus disampaikan.



















13
Hatinya berdebar-debar tatkala menerima sepucuk surat daripada seseorang yang sudah pun selamat disemadikan. Jika diikutkan hatinya, mahu sahaja dia mengoyakkan surat tersebut dan mencampaknya ke dalam tong sampah. Namun, niatnya itu dibatalkan sebaik sahaja terpandang ayat pada sampul surat tersebut.
Khas Untuk Srikandi Hatiku Hasliza Hashim
“Lebih baik jika awak baca surat ini ketika awak bersendirian.” Kata-kata Zaidi berlegar-legar dalam kepalanya. Mujurlah Rafika masih belum pulang ke asrama, justeru dia bersendirian di dalam biliknya. Dia mengoyakkan sampul surat tersebut lalu mengeluarkan isi kandungannya.
Abang amat berharap agar surat ini tak perlu dibaca olehmu, Hasliza. Jika Hasliza  sedang membaca surat ini, maka ini bermakna abang telahpun tiada lagi.
Wahai Hasliza,
Tujuan abang menulis surat ini bukannya untuk memaksa Hasliza menerima abang. Abang sedar diri abang ini siapa jika hendak dibandingkan dengan Hasliza. Perbezaan antara kita teramat ketara. Namun demikian, izinkanlah abang meluahkan segalanya melalui surat ini.
Hasliza,
Abang akui, kali pertama abang terpandang Hasliza ketika Hasliza berada di tahun pertama pengajian, hati abang sudah pun terpaut. Namun demikian, abang menafikannya, dengan menganggap semua ini hanya salah satu daripada panah-panah syaitan yang telah bersumpah di hadapan ALLAH untuk menyesatkan setiap anak Adam. Namun, apakan daya, abang mampu menafikan banyak perkara, tapi bila datang ke soal hati, abang tumpas jua akhirnya.
Hasliza,
Perasaan ini berterusan mengganggu hati dan jiwa abang. Abang keliru. Abang hairan. Abang malu. Abang keliru, kenapa harus perkara ini menimpa abang? Abang hairan, kenapa harus ketika abang mengejar cita-cita perasaan ini hadir??Abang malu, kerana abang gagal membendung perasaan ini, tak kira apa jua cara abang mencuba.
            Hasliza,
Abang menyedari, bahawa hayat abang besar kemungkinan tak lama. Kerapkali abang diserang sakit yang hanya mampu ditanggung oleh hati yang tabah dan cekal. Namun demikian, berapa lama abang mampu bertahan dengan dugaan ALLAH yang maha hebat ini? Abang amat berharap agar abang sempat meluahkan perasaan ini sebelum abang berangkat bertemu ALLAH. Alhamdulillah, abang masih diberi kesempatan untuk melakukannya.
Hasliza,
Ingin abang sampaikan di sini, seandainya Hasliza menyimpan perasaan yang serupa dengan abang, maka abang pasti abang merupakan antara salah seorang lelaki yang bertuah. Namun, apakan daya, abang hanya mampu merancang, sedangkan ALLAH  jua yang menentukan. Abang amat berharap, agar pemergian abang mampu diterima oleh Hasliza. Abang juga merayu kepada Hasliza, teruskanlah hidup ini selagi hayat masih dikandung badan, selagi tunjang nyawa masih disokong hembusan nafas yang sentiasa mencari keredhaanNya. Seandainya ada sesiapa saja yang ingin menyunting Hasliza, maka buatlah keputusan yang terbaik untuk Hasliza, dengan mengabaikan abang sepenuhnya. Anggaplah pemergian abang seperti pemergian manusia lain yang pasti akan menemui penciptanya. Teruskanlah kehidupan, tabahkanlah hati menempuh dugaan yang mendatang. Akhir kata, izinkanlah abang mengatakannya buat kali yang terakhir:
Wahai Hasliza Hashim, kaulah Srikandi Hatiku. Takkan ku temui gadis lain sebaik dirimu. Aku mencintaimu kerana ALLAH.
Wassalam

Matanya berkaca-kaca sebaik sahaja selesai membaca surat tersebut. Hatinya tersentuh. Tersentuh dengan keikhlasan Syed Azlan. Dia cuba menafikan perasaannya sendiri, namun dia tetap gagal menipu dirinya sendiri. Air matanya tumpah juga akhirnya.
Abang Azlan...air matanya berterusan mengalir tanpa mampu ditahan-tahan lagi. Sesungguhnya diri ini juga menyayangimu, diri ini juga mencintaimu kerana ALLAH...


14
Tiga tahun telah pun berlalu semenjak lelaki tersebut meninggalkan dunia yang sementara ini untuk meneruskan perjalanan di alam yang seterusnya. Doktor Hasliza Hashim ketika ini sedang bersimpuh menghadap pusara Syed Muhammad Azlan. Fikirannya ketika ini hanya teringatkan lelaki tersebut.
“Abang Azlan...” dia bersuara.
“Dalam warkah abang yang terdahulu, abang menyatakan kita hanya merancang, sedangkan ALLAH jua yang menentukan. Kita hanya hambaNya yang hina, yang hanya layak untuk dihakimi, tak layak untuk menghakimi. Abang turut merayu supaya saya meneruskan hidup selagi hayat dikandung badan, selagi tunjang nyawa masih disokong hembusan nafas yang sentiasa mencari keredhaanNya. Saya akui, saya mampu untuk menunaikan permintaan tersebut, namun terdapat satu hasrat abang yang tak mampu saya tunaikan.” Dia diam sejenak. Sejurus kemudian dia bersuara semula.
“Saya tak mampu untuk menerima lelaki lain. Seolah-olah hati saya telah pun tertutup untuk menerima lelaki lain. Abang mungkin tak tahu, namun hati saya tak mampu untuk melupakan satu nama,  iaitu Syed Muhammad Azlan. Saya sudah mencuba sedaya upaya, namun saya tetap tak mampu...” Dia tidak mampu untuk menghabiskan ayat terakhirnya. Dia menangis teresak-esak di tepi pusara batu bertiang dua itu.
“Assalamua’laikum.” Suara tersebut mengakibatkan tangisannya terhenti. Suara yang sama sekali tidak dijangka akan didengarinya.
Tak mungkin. Tak mungkin itu adalah suara dia.
“Saudari tak apa-apa?” Suara tersebut bertanya lagi. Sebaik sahaja dia berpaling, dia menerima kejutan terbesar dalam hidupnya.
“Saudari pasti saudari tak apa-apa?” Sekali lagi lelaki tersebut bertanya.
“Abang Azlan???” dia bertanya.
“Maafkan saya. Saya bukannya Syed Muhammad Azlan.”
“Jika awak bukan Azlan, siapa awak sebenarnya??”
“Maafkan kebiadaban saya, wahai saudari. Saya Syed Muhammad Hazlan, kembar kepada Syed Muhammad Azlan. Saya baru sahaja menamatkan pengajian saya di universiti Al-Azhar dalam bidang perubatan.”
“Universiti Al-Azhar??”
“Ya. Seharusnya kembar saya, Abang Azlan yang melanjutkan pengajian ke sana. Namun demikian, demi saya, dia sanggup melepaskan peluang tersebut dan meminta agar saya yang diberi peluang untuk ke sana. Saya hanya mengetahui perkara ini setelah kembali ke sini kira-kira 3 bulan yang lalu. Dia sememangnya sanggup melakukan apa saja untuk memastikan saya berpeluang melanjutkan pengajian ke sana, biarpun terpaksa mengorbankan hasratnya sendiri.”
“Maksud awak?”
“Saya dan abang Azlan bercita-cita untuk menyambung pengajian ke Mesir, namun tempat yang ditawarkan hanya untuk seorang saja. Jadi, dia tanpa teragak-agak mengorbankan hasratnya sendiri untuk memastikan hasrat saya tercapai.”
Kembar abang Azlan rupanya. Tak hairanlah suara dan gayanya amat serupa.
“Saudari mengenali Abang Azlan?”
“Kenapa kamu bertanya begitu?”
“Saya memerhatikan saudari daripada tadi. Saya turut memerhatikan saudari mengalirkan air mata ketika di pusara Abang Azlan. Nampaknya Abang Azlan merupakan seorang yang teramat penting untuk saudari. Siapa sebenarnya saudari ini? Apa perhubungan saudari dengan Abang Azlan?”
“Sebenarnya, saya ni...”













Epilog
            Dua tahun berlalu semenjak kepulangannya ke Malaysia. Sekarang dia sedang bertugas di salah sebuah hospital swasta di Malaysia. Dia berterima kasih kepadaNya kerana segala hajatnya telah diperkenankan oleh yang Maha Esa. Namun demikian, semua itu tidak dapat dikongsi oleh kembarnya yang telah pun terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi. Sekali lagi, seperti dua tahun yang lalu, dia berteleku di sebelah pusara abang kembarnya itu.
            “Abang...saya amat bersyukur kepadaNya kerana segala hajat saya telah diperkenankan olehNya, namun, bagi saya, abang adalah tunjang kepada kejayaan saya sekarang ni. Jika lima tahun dahulu abang tak mengabaikan cita-cita abang, saya pasti semua ni takkan terjadi. Namun apakan daya, perancanganNya mendahului perancangan kita. Abang, sesungguhnya saya terhutang budi pada abang, kerana abang sanggup mengetepikan cita-cita abang sendiri semata-mata ingin memberi peluang kepada saya untuk mencapai cita-cita saya. Segala pengorbanan abang takkan mampu saya balas. Apa yang saya mampu hanyalah mendoakan agar abang aman dan tenteram di sana, dan juga agar abang tergolong dalam golongan para Solihin.”
            “Abang.” Suara yang dianggap asing baginya dua tahun yang lalu kedengaran. Hasliza Hashim hanya tersenyum melihat gelagat Hazlan. Ketika ini, dia turut terkenangkan arwah Azlan.
            “Saya tunggu abang.” Hasliza berkata seraya berpaling meninggalkan tanah perkuburan tersebut.
            “Di hadapan pusara abang ni, saya berjanji dengan nama Syed Muhammad Hazlan, saya akan menjaga Hasliza Hashim untuk pihak abang, sebagaimana yang akan abang lakukan.”
            Dia melangkah meninggalkan pusara tersebut dan berjalan mendapatkan Hasliza. Sejurus, Hasliza memeluk tangan kanan Syed Muhammad Hazlan dan merebahkan kepalanya ke bahu kanan lelaki tersebut. Buat kali yang terakhir, dia berpaling menghadap pusara kembarnya itu yang terletak bersebelahan dengan pusara datuknya.
            Abang Azlan, aman dan tenteramlah dikau di sana.

Kita hanya merancang, ALLAH jua yang menentukan. Al Fatihah untuk sahabat-sahabatku Muhammad bin Alias, Muhammad Alif Munji bin Zakaria, Muhammad Zakuan dan Muhammad Farhan bin Mazlan.