Thursday, 29 March 2012

Pengorbanan Cinta Seorang Dai'e

Prolog
SMK ( A ) Sultan Muhammad, 2002
            “Kamu kena ingat, tanggungjawab seorang dai’e teramat berat. Memang tidak dinafikan, ganjaran pahalanya amat besar di sisi ALLAH, tetapi banyak pengorbanan yang perlu kamu lakukan.”
            “Pengorbanan masa dan kewangan ke ustaz?” Amri, pelajar tingkatan 1 Ali bertanya.
            “Masa dan kewangan cuma pengorbanan kecil. Masih ada pengorbanan yang lebih besar yang perlu kamu lakukan. Tetapi, tiada yang lebih menggembirakan ustaz selain daripada melihat anak-anak ustaz  sanggup meneruskan kerja yang pernah dilakukan Nabi Muhammad S.A.W.” Tuan Haji Abdul Razak menyatakan. Lelaki itu merupakan seorang guru yang mengajar subjek Kemahiran Hidup dan juga seorang pendakwah bebas. Antara lelaki yang amat disayangi dan dihormati Amri.

1
PSS MITC, 2012
            Dialog di antaraya dan juga ustaznya 10 tahun yang lepas terngiang-ngiang di pendengaran. Dia tersenyum sendiri. Tanggungjawab seorang dai’e sememangnya berat, dia sendiri mengakui perkara itu. Tetapi sehingga sekarang dia masih tertanya-tanya , apakah yang dimaksudkan dengan “pengorbanan yang lebih besar” yang pernah dinyatakan kepadanya?
            “Abang Amri. Jauh termenung. Teringatkan siapa? Awek ke?”  Suara yang amat tidak asing baginya menyapa sambil tertawa kecil. Amri hanya tersenyum sendirian.
            “Awek? Sekarang bukan masanya, Farah.” Dia bersuara tanpa berpaling menghadap gadis yang muda 5 tahun dari dirinya itu.
            “Maksud abang?”
            “Selamat datang.” Amri menegur dan melayan seorang pelanggan yang datang ke stesen minyak tersebut.
            “RM 10, pam 5. Terima kasih.”
            Dia berpaling ke kiri, menekan skrin komputer itu beberapa kali sehingga bahagian simpanan wang yang berada di bawah skrin komputer itu terbuka secara automatik. Dia kemudiannya menyambung bicaranya yang mengundang persoalan di hati Farah.
            “Sekarang ialah masa untuk menyiapkan diri, bukannya masa untuk melayan perasaan. Jika dilayan, bimbang kita akan hilang tumpuan pada apa yang sepatutnya kita lakukan, sehingga apa yang kita idamkan akan terlepas.”
            “Persiapan? Untuk apa? Apa yang terlepas?”
            “Tadi Farah tanya, abang teringatkan siapa? Awek ke? Abang memang ada perasaan pada seseorang tetapi bagi abang, sekarang bukan masanya untuk melayan perasaan cinta yang hadir dalam diri abang. Sebaliknya, abang seharusnya menyiapkan diri untuk menyunting gadis yang abang impikan. Bunyinya seperti mudah, tetapi persiapannya memakan masa. Tambahan pula, sasaran abang bukan hanya di dunia.”
            “Bukan hanya di dunia?” Farah semakin galak bertanya. Setiap bicara pemuda itu merupakan ilmu bagi dirinya.
            Sekali lagi dia tersenyum. “Bagi abang, erti cinta sebenar ialah memimpin orang yang kita sayangi dan cintai ke syurgaNya yang penuh kenikmatan. Bukannya mengheret orang yang kita sayangi dan cintai ke nerakaNya yang penuh penyeksaan. Itulah yang dimaksudkan dengan cinta yang matlamatnya ialah Akhirat, keredhaan ALLAH. Cinta agung, cinta mulia. Bukan seperti cinta kebanyakan muda mudi sekarang,”
            “Boleh abang terangkan lebih lanjut?”
            “Cinta kebanyakan remaja zaman sekarang ialah sentiasa berhubung, sentiasa berjumpa. Bila berjumpa, pasti akan berdua-duaan. Sekurang-kurangnya berpegang tangan. Bukankan hukumnya haram apabila kita menyentuh seseorang yang tidak halal untuk kita? Lebih baik kita bergomol dengan khinzir berbanding menyentuh yang tidak halal untuk kita. Abang akui, abang pelajar sekolah agama, diploma Syariah Islamiyyah, namun itu bukan jaminan bahawa abang akan selamat daripada melakukan perkara sedemikian apabila abang menjalinkan cinta dengan seseorang yang belum tentu menjadi milik abang. Jadi, lebih baik abang pendamkan dahulu perasaan abang dan persiapkan diri untuk menyunting dia, daripada terus melayan perasaan cinta dan kasih sayang yang hadir hingga mengakibatkan abang sendiri lalai dan terlupa tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan.”
            Farah mengangguk-anggukkan kepalanya tanda memahami penerangan panjang lebar pemuda tersebut.
            “Boleh Farah…”
            Ayatnya itu terhenti apabila tiga orang pelanggan secara serentak menghampiri kaunter bayaran. Farah yang menemani Amri sementara menunggu kehadiran ayahnya turut sama membantu. Dia syif petang dari jam 3 petang hingga 11 malam, sedangkan Amri syif malam bermula 11 malam hingga 7 pagi. Namun demikian, Amri memilih untuk masuk pada jam 7 malam. Setelah pelanggan reda, Amri menyambung perbualannya dengan Farah.
            “Apa yang ingin Farah katakan tadi?”
            “Boleh Farah tahu, siapakah gadis bertuah itu?”
            “Sesetengah perkara kita boleh kongsikan dengan orang lain, tetapi ada juga perkara yang tidak boleh kita kongsikan dengan orang lain. Abang harap Farah faham apa yang abang maksudkan.”
            “Farah faham. Terima kasih sudi menerangkan.”
            “Sama-sama.”
            Farah, alangkah baik jika Farah mengetahui siapa yang abang maksudkan…

2
SWM Enviroment Sdn Bhd
            Amri melangkah keluar dari pejabat tempat kerjanya. Dia disapa oleh sahabatnya, Shahrizal.
            “Bro. Mana nak makan ni?”
            “Tempat biasa. Ada something yang aku nak story kat kau.”
            “Gerak dulu. Story kemudian okey?”
            “Setel.”
**********
            “Hah…apa yang kau nak story kat aku ni?” Walaupun tua 3 tahun berbanding Amri, namun itu tidak menjadi penghalang untuk Shahrizal bersahabat dengannya. Tambahan pula, mereka “sekepala”.
            “Aku ada hati kat someone. So, apa  pandangan kau? Patut aku luahkan atau diamkan saja?”
            “Pandangan dari sudut umum atau agama?”
            “Dua-dua.”
            “Okey. Kalau ikutkan umum, luahkan aje. Terima atau tak, belakang kira. Tu pandangan umum. Ikut pandangan agama, berbeza. Sangat berbeza. Aku rasa, kau sendiri lebih tahu kan?
            “Maksudnya?”
            “Engkau sudah bersedia untuk bernikah? Apa persediaan kau sebagai bakal ketua keluarga? Apa kau mampu untuk memberikan nafkah? Batin mungkin.” Dia ketawa sendiri sebelum serius semula. “Bagaimana dengan nafkah lain? Duit belanja? Makan minum? Pakaian? Tempat tinggal? Jika engkau luahkan kepada dia, engkau mampu dan yakin boleh mempercepatkan pernikahan? Semua benda ni kau harus fikir betul-betul. Bagi aku, tidak salah bercinta sebelum nikah, tetapi,dengan syarat percepatkanlah pernikahan.” Amri terdiam.
            “Jika tidak mampu, lupakan sahaja perasaan itu.” Dia berkata.
            “Betul. Tepat sekali. Camni la bro aku.” Shah tersenyum. Amri tersengih.
            “Dah. Apa lagi, jom makan!”
           

3
Ayer Keroh
            Malam itu, seperti kebiasaannya, dia menghadap skrin laptop. Membaca dan menulis merupakan aktiviti kegemarannya untuk mengisi masa lapang. Namun demikian, malam itu, dia ketandusan idea. Dia termenung di hadapan skrin laptop. Lembaran baru Microsoft Word serba putih terbiar kosong. Apa yang dikatakan Shah terbayang di fikiran, berputar kembali di gegendang telinga.
            “Engkau sudah bersedia untuk bernikah? Apa persediaan kau sebagai bakal ketua keluarga? Apa kau mampu untuk memberikan nafkah? Batin mungkin.” “Bagaimana dengan nafkah lain? Duit belanja? Makan minum? Pakaian? Tempat tinggal? Jika engkau luahkan kepada dia, engkau mampu dan yakin boleh mempercepatkan pernikahan? Semua benda ni kau harus fikir betul-betul. Bagi aku, tidak salah bercinta sebelum nikah, tetapi,dengan syarat percepatkanlah pernikahan.” Setiap butir kata Shah bermain-main di fikirannya. Dia teringat kembali dialognya dengan Ustaz Razak, ketika dia ke sekolah lamanya itu untuk mengambil sijil SPM.
           
4
SMK (A) Sultan Muhammad, 2007
            “Ustaz, apa yang ustaz maksudkan dengan “pengorbanan yang lebih besar”? Puas saya berfikir, tetapi, saya masih gagal mendapatkan jawapannya.”
            “Seorang dai’e sepatutnya mampu menyedari kelemahan yang ada pada diri sendiri, kerana dia menyampaikan risalah ALLAH, meneruskan tugas nabi Muhammad S.A.W.. Bukannya untuk mengingatkan manusia lain, tetapi untuk mengingatkan dirinya sendiri kerana fitrah manusia itu dijadikan sebagai makhluk yang pelupa.”
            “Jika manusia itu seorang yang pelupa, kenapa ALLAH memilih manusia untuk dipertanggungjawabkan dengan amanah dan tanggungjawab yang begitu berat?”
            “Anakku Amri, firman ALLAH dalam Al-Quran surah Al-Ahzab ayat ke 72 yang bermaksud
Sekaligus membuktikan manusia itu sombong dan bongkak. Namun berkat ajaran agama yang dibawa oleh utusan ALLAH, kita berjaya mengatasi perasaan sombong dan bongkak itu.”
            Amri hanya mendiamkan diri. Ustaz Razak yang menyedari kegusaran anak didiknya itu tersenyum.
            “Ustaz tidak akan katakan secara terus apa yang dimaksudkan “pengorbanan yang lebih besar” yang pernah ustaz nyatakan, tetapi ustaz akan memberi 2 petunjuk.”
            Amri mengangkat kepalanya. “Apakah petunjuk itu?”
            “Fitrah dan jantina berlawanan. Itu sahaja yang boleh ustaz nyatakan. Ustaz pasti, kamu mampu mencari jawapan kepada persoalan yang bermain di fikiran kamu.”

5
            Amri termenung. Walaupun telah 5 tahun berlalu, dia masih tidak mendapat jawapan kepada persoalan yang bermain di fikiran. Dia mengeluh.
            Fitrah dan jantina berlawanan? Jantina berlawanan itu aku fahamlah, tapi apa yang ustaz maksudkan dengan “fitrah”? Mungkinkah…cinta??
            Dia tersedar. Dia pantas mendapatkan rak buku yang mengandungi bahan bacaan agama yang dikongsi bersama dengan ayahnya. Dia mengeluarkan beberapa buku yang mempersoalkan mengenai cinta. Antaranya ialah trilogi “Aku Terima Nikahnya” dan juga “Pemilik Cintaku Setelah ALLAH dan Rasul.” Dia meneliti dan memahami setiap helaian semua buku yang dikeluarkannya.
            Tidak dinafikan. Apa yang dimaksudkan oleh Ustaz ialah cinta. Pengorbanan cinta? Apa yang dimaksudkan dengan “pengorbanan cinta”? Aku kena dapatkan jawapan! Jika ustaz yakin pada aku, aku pasti akan temui jawapannya!

6
            Dia meneruskan kerjanya sepeti biasa. Dia akui, dia semakin hampir untuk menemui jawapan yang dicarinya.
            “Camne bro? dah dapat jawapan yang kau mahukan?” Shah bertanya.
            “Hampir. Aku cuma perlukan sedikit lagi masa dan rujukan. insyaALLAH, semuanya akan selesai dalam masa yang terdekat.”
            “Tak kira apa keputusan kau, aku sentiasa sokong kau, okey? Aku nak yang terbaik untuk kau, sahabat aku sendiri. Aku doakan.”
            “Thank you bro.”
            “Small matter je.” Telefon bimbit kepunyaan Amri berbunyi, menandakan dia menerima 1 teks mesej baru. Datangnya daripada Farah.
            Assalam. Abang, sihat? Lama tak mesej Farah?
            Amri mengeluh sambil fikirannya ligat berputar memikirkan jawapan yang sesuai untuk persoalan yang diajukan kepadanya. Memang agak lama mereka tidak berhubung. Namun dia mengambil pendekatan itu untuk mencari jawapan kepada persoalan yang bermain di fikirannya.
            Waalaikumussalam warahmatullah. Alhamdulillah. Maaf kerana lama tak mesej Farah. Abang sedang mencari jawapan kepada satu persoalan yang selama ni bermain di fikiran abang. Abang minta maaf.

            Farah yang baru sahaja sampai di rumah setelah selesai kerja syif pagi membaca mesej yang diterimanya dari Amri. Mesej yang menjawab persoalannya, tetapi mengundang persoalan lain.
            Jawapan kepada satu persoalan yang selama ni bermain di fikiran?

7
            Malam ini, seperti malam-malam yang sebelumnya, laptop kesayangannya terpasang. Namun demikian, malam ini agak berbeza berbanding malam sebelumnya. Dia menghidupkan laptop bukan untuk menulis, tetapi untuk mendengar alunan ayat suci Al-Quran sambil membuat rumusan daripada pembacaannya semenjak beberapa malam yang lepas.
            Cinta memang indah. Ada pasangan untuk ambil berat, jaga makan minum, berkorban wang dan juga masa untuk kita. Saling menyayangi dan mengasihi, bahkan saling mencintai. Indahnya satu percintaan itu. Tetapi, semua itu indah hanya SELEPAS PERNIKAHAN. Bukannya SEBELUM PERNIKAHAN. Sebelum pernikahan ,semua itu indah kerana mainan syaitan yang direjam. Seronok memang seronok, tapi,dosa pun “seronok” banyaknya. Pernikahan merupakan jalan penyelesaian. Tapi, keadaan aku sekarang tak mengizinkan aku untuk bernikah. Nampaknya aku perlu korbankan cinta aku ni. Pengorbanan lebih besar yang perlu aku lakukan selain pengorbanan masa dan kewangan ialah pengorbanan cinta. Ya ALLAH, jika ini harga yang perlu aku bayar untuk nikmat kemanisan iman dan kemanisan ibadah yang engkau kurniakan kepadaku, aku sanggup! Biarlah qada’ dan qadarMu menentukan siapa jodohku. Aku harus menjadi! Bukannya mencari!
            Jauh di sudut hatinya, dia amat berterima kasih kepada Ustaz Razak kerana yakin akan keupayaan dan kebolehannya untuk mencari sendiri jawapan kepada persoalan yang bermain di fikirannya. Dia sudah sedar, sebagai seorang dai’e, dia harus berkorban dalam banyak perkara. Antaranya ialah fitrah kepada setiap manusia. Sesuatu yang bergelar…cinta. Pengorbanan yang amat pahit untuk dilakukan, tetapi balasannya pasti teramat manis.
            Farah…maafkan abang. Mungkin Farah tak tahu mengenai perkara ini, tapi, selagi keadaan tak mengizinkan, selagi itulah abang akan pendamkan perasaan ini. Farah hanya akan tahu apabila keadaan abang mengizinkan abang untuk menyempurnakan separuh agama abang, dan juga mendapatkan semula tulang rusuk yang abang yang telah hilang.

8
            Dia tersenyum. Dia sendiri tidak menjangka akan mendapat khabar yang sama sekali tidak diduga. Rupanya dalam diam Farah telah pun berpunya.
            Patutlah dia semakin ceria dan gembira semenjak kebelakangan ni. Rupanya teman lelakinya balik untuk cuti semester. Alhamdulillah, ALLAh masih menyayangi aku dengan menyelamatkanku dari terjebak ke kancah percintaan sebelum pernikahan yang jelas lagi bersuluh banyak buruk dari baiknya. Terima kasih banyak-banyak, Ya ALLAH!
            “Abang? Senang hati nampak? Tak mahu berkongsi dengan Farah?” Gadis manis itu menegurnya.
            “Senyum itu satu sedekah.” Dia menjawab sambil tersenyum.

Prolog
            Cinta ialah satu perasaan, satu fitrah yang dijadikan ALLAH untuk semua makhluk ciptaanNya, terutama sekali manusia yang merupakan khalifah di muka bumi ini. Mungkin ada yang mengatakan aku pengecut kerana mengaku kalah sebelum berjuang, namun, biarlah perasaan cintaku kepada Farah berkubur tanpa nisan, tenggelam ke dasar hati tanpa timbul semula. Biarlah aku mendoakan kebahagiaannya. Bagi aku, itu sudah lebih dari cukup. Buat masa ini, lebih baik jika aku menyiapkan diri untuk menjadi imam yang mampu membawa isteriku yang aku sendiri tidak tahu siapa ke syurgaNya yang kekal abadi. Bahagia di dunia, bersatu selamanya di Akhirat… insyaALLAH…           
            Amri meneliti kembali catatan yang terpampang di skrin laptop. Dia tersenyum tanda berpuas hati dengan catatannya. Tetikus digerakkan ke arah file dan catatannya itu disimpan di dalam folder Perjalanan Hidupku.
-Shut Down-

1 comment:

  1. Memang kadang-kadang CINTA itu tak perlu diluahkan . Cukuplah sekadar kita berdoa agar dia jooh kita . CINTA INSANI itu memang sukar utk kita menolaknya tapi kita boleh utk membanterasnya dgn cara mendekatkan diri kita kepada Allah . Tapi ,, kaang-kadang kita harus meluahkannya .. it's depens on situation .

    ReplyDelete