Saturday, 21 December 2013

CINTA, JODOH DAN TAKDIR
PARIT SIDEK, JOHOR
                PEMUDA tersebut menghidupkan motosikal berkuasa tingginya, dan membiarkannya untuk seketika. Dia termenung sambil duduk di hadapan pintu masuk rumahnya. Panggilan telefon yang diterimanya semalam mengganggu fikirannya.
                “Masih terfikirkan panggilan semalam?”
                Soalan daripada ayahnya menyedarkannya dari alam imaginasi. Dia berpaling dan melemparkan senyuman kepada lelaki setengah abad itu.
                “Terus terang, ya. Siapa sangka, dia akan telefon abang, dan minta abang datang ke rumahnya. Ayah tak rasa sebarang keganjilan?”
                “Ayah dapat rasakan ada yang tak kena. Kamu masih tak boleh maafkan dia?”
                “Perempuan tua tu? Maaf? Heh.”
                Dia membalas soalan ayahnya itu dengan sengihan tanpa sebarang jawapan. Dia kemudiannya bangkit, menyarung kasutnya. Dia bersalaman dengan ayahnya itu.
                “Berapa lama kamu akan berada di sana?”
                “Tak pasti lagi. Sebarang perkembangan abang akan maklumkan pada ayah dan ibu kemudian.”
                Beg galas dan topi keledar muka penuhnya dicapai dan disarung ke kepala.
                “Abang pergi dulu. Assalamualaikum.”
                “Waalaikumusaalam warahmatullah.”
                Motosikal berkuasa tingginya diturunkan daripada tongkat kembar. Penderam dipulas beberapa kali. Enjin mengaum. Setelah berpuas hati, dia memasukkan gear pertama. Dia berpaling menghadap ayahnya dan melambaikan tangan kanannya sambil memulas penderam. Motosikal berkuasa tinggi keluaran syarikat Jepun tersebut bergerak meninggalkan halaman rumah banglo 3 tingkat itu dan bergerak membelah jalanraya, menuju ke destinasi yang terletak di pantai timur.
                Zakwan, jika Jannah telah ditentukan oleh ALLAH menjadi isteri kamu, tak kira apa saja yang menghalang, kamu berdua pasti akan bersatu. Wahai anakku, ayah hanya kamu mahukan kamu bahagia.

BUKIT KATIL, MELAKA
                 SETELAH membalas pesanan teks yang diterima dari Haji Badrul, Hajjah Mariam mengunci telefon pintarnya.
                “Siapa yang mesej ibu tadi?”
                Mariani, anak perempuannya bertanya.
                “Ayah kamu. Zakwan dalam perjalanan berjumpa keluarga Jannah.”
                “Jannah? Kenapa? Tak puas lagi menyakitkan hati dan perasaan Zack?”
                “Mariani, kamu tak tahu cerita sebenarnya.”
                Ibunya menyatakan sambil tersenyum nipis.
                “Maksud ibu?”
                “Biarkan. Tanya sendiri pada Zakwan. Jika dia tak keberatan, dia akan bercerita kepada kamu.”
                Puan Mariam menyatakan sambil melangkah ke dapur, meninggalkan Mariani keseorangan memikirkan maksud kata-katanya itu.

BANGI
                “ABANG aku ni, baik nau. Kang jika aku cop dia lurus bendul, dia mengamuk.”
                Nashih Ulwan, pelajar tahun tiga Universiti Kebangsaan Malaysia  mengeluh. Pening memikirkan perangai abangnya itu. Abangnya itu baik, terlalu baik hinggakan orang lain mengambil kesempatan. Dia sendiri susah hendak memaafkan perempuan tua itu atas apa yang telah dilakukan kepada abang kandungnya, namun keputusan abangnya itu mahu bersemuka dengan keluarga Jannah sama sekali di luar dugaannya. Tak kira apa pun yang terjadi, dia sentiasa mendoakan yang terbaik untuk abangnya itu.

JETI TANJUNG GEMOK
                ZAKWAN menghentikan motosikal yang ditunggangnya di tempat meletak motosikal yang disediakan. Dia mencapai telefon bimbitnya. Menghubungi seseorang.
                “Assalamualaikum abang long. Saya sekarang ni di jeti Tanjong Gemok. Saya tunggu abang di sini.”
                Panggilan ringkas itu tamat di situ. Sementara menunggu abang long, kenangannya bersama Jannah bermain di fikiran. 2 tahun telah berlalu semenjak kali terakhir dia bertemu dengan gadis itu, ketika menghadiri majlis konvokesyennya. Lamunannya berkecai apabila dia ditegur seseorang.
                “Assalamualaikum Zack. Apa khabar?”
                Dia berpaling menghadap tuan punya suara tersebut. Dia melemparkan senyuman manis untuk lelaki dan wanita yang berada di hadapannya.
                “Waalaikumussalam warahmatullah abang long. Sihat Alhamdulillah. Abang long dan kak long sihat?”
                Dia bertanya semula kepada lelaki dan wanita itu. Abdul Rahman. Abang kandung kepada Jannah. Dia tiba bersama isterinya.
                “Kami sihat Alhamdulillah. Boleh kita gerak sekarang?”
                Dia menganggukkan kepalanya. Bersetuju tanpa sebarang bantahan.

KAMPUNG MENTARA
                LELAKI pertengahan 40an itu leka membaca surat khabar di ruang tamu. Konsentrasinya terganggu apabila mendengar deruman enjin kereta dan juga motosikal berkuasa tinggi memasuki perkarangan rumah kampung itu. Enjin kedua-dua jentera itu dimatikan. Dia pantas melipat akhbar itu lalu meletakkannya ke atas meja kaca jernih segi empat tepat lalu melangkah menuju ke pintu. Kedengaran anak lelakinya memberi salam.
                “Assalamualaikum.”
                “Waalaikumussalam warahmatullah along. Mana Zakwan?”
                “Dia ada di luar, ayah. Jannah mana?”
                “Masih belum pulang. Jemput tetamu kita tu masuk.”
                “Zack, mari masuk. Abah ingin berjumpa dengan Zack.”
                Zakwan melangkah masuk sambil memberikan salam. Salam suci itu berjawab. Sebaik sahaja melihat lelaki itu, Zakwan bersalaman lalu memeluk erat lelaki itu, umpama memeluk ayahnya.
                “Apa khabar, abah?”
                “Baik alhamdulillah. Jemputlah duduk. Abah mahu ke dapur sekejap.”
                Encik Talib menyatakan sambil melangkah menuju ke dapur. Zakwan melabuhkan punggungnya di salah satu kerusi yang berada di ruang tamu. Dia ditemani oleh Rahman dan Batrisya.
                “Ira, Iqa, mari ke ruang tamu. Kita ada tetamu.”
                Batrisya memanggil kedua adik iparnya supaya bertemu dengan tetamu mereka. Ira dan Iqa melangkah ke ruang tamu. Sebaik sahaja ternampak Zakwan, mereka berdua pantas berlari ke arahnya, bersalaman dengan pemuda tersebut.
                “Abang Zack sihat?”
                “Bila abang Zack sampai? Kenapa tak maklumkan pada kami abang nak datang ke sini?”
                Pelbagai soalan diajukan kembar itu kepadanya. Zakwan sememangnya rapat dengan keluarga Jannah, bahkan Jannah sendiri pernah bertemu dengan keluarganya. Mereka berdua telah merancang untuk hidup bersama sebagai pasangan suami isteri, namun perancangan mereka berdua terbantut kerana seseorang.
                “Assalamualaikum, Zakwan.”
                Zakwan yang sedang melayan Ira dan Iqa tersentak sebaik sahaja mendengar salam tersebut.
                “Waalaikumussalam.”
Sepatah sahaja dia menjawab. Kelakuannya yang ceria melayan Ira dan Iqa sebentar tadi berubah serta merta.  Diam dan langsung tiada sebarang senyuman menghiasi bibir. Pandangannya tajam memerhatikan seorang wanita yang baru sahaja melangkah keluar dari dapur. Wanita tersebut yang menyedari perubahan kelakuan Zakwan, melabuhkan punggungnya di kerusi di hadapan Zakwan. Encik Talib duduk di sebelah wanita itu.
Abdul Rahman dan Batrisya yang menyedari kehadiran mereka tidak diperlukan di situ, mengajak Ira dan Iqa keluar mengambil angin.
“Ira, Iqa, mari ikut along, kita ke pekan.”
Adik beradik kembar yang tidak mengetahui apa apa itu hanya menurut.
“Abang Zack tak nak ikut kami?”
Iqa yang berusia 5 tahun bertanya.
“Pergilah. Abang mahu berbual dengan abah.”
Zakwan menyatakan sambil tersenyum mesra memandang anak kecil itu. Dia berpaling semula menghadap kedua manusia yang berada di hadapannya, senyuman mesra yang berjuntai di bibirnya hilang. Setelah memastikan mereka berempat telah meninggalkan perkarangan rumah tersebut, Zakwan bertanya kepada wanita yang baru sahaja keluar dari dapur itu.
“Apa yang kau mahu daripada aku?”
“Zakwan, sebenarnya mak nak minta maaf.”
Puan Latifah, ibu kepada Jannah menyatakan.
“Maaf? Untuk?”
“Mak silap. Mak telah menghancurkan kebahagiaan kamu dan Jannah. Mak...”
“Minta maaf pada Jannah. Bukan pada aku. Aku sama sekali takkan maafkan kau. Kau dah lupa apa yang kau buat pada aku dan Jannah?”
Puan Latifah terkedu apabila mendengar soalan itu. Dia memandang suaminya yang berada di sebelahnya. Mengharapkan bantuan.
“Zakwan, dengar penjelasan daripada mak dulu. Beri peluang kepada dia.”
“Silakan. Telinga saya sedia mendengar. Tapi, saya sedia mendengar atas permintaan abah.”
“Mak sedar mak salah. Mak pisahkan kamu dengan Jannah, semata mata sebab mak dah ada calon lain untuk Jannah. Tapi, siapa sangka, lelaki yang mak anggap yang terbaik untuk Jannah cukup pandai berlakon.”
“Begitu. Apa yang dia lakukan pada Jannah?”
“Dia ditangkap khalwat bersama teman wanitanya. Dia menerima Jannah semata-mata mahu menjaga hati kedua ibu bapanya. Dia sama sekali tiada niat mahu memperisterikan Jannah.”
“Oh. Jadi, apa kaitannya dengan aku? Apa yang kau mahu aku lakukan?”
Puan Latifah menarik nafas dalam sebelum menyatakan hajatnya.
“Mak harap, Zakwan sedia menerima Jannah semula. Hati Jannah hancur apabila mendengar berita itu. Mak pasti, Zakwan mampu membahagiakan Jannah.”
“Aku mampu membahagiakan Jannah? Betul ke? Bukankah kau sendiri yang menyatakan kau bencikan aku? Tak suka Jannah berkawan dengan aku? Kau juga yang menabur fitnah terhadap aku kan? Boleh jelaskan? Hati Jannah hancur apabila mendengar berita itu? Betul ke? Bukan hati dia telah hancur lebih awal apabila kau mengutuk dan menghina aku pada pertemuan kita yang pertama tanpa kau memberi peluang untuk aku membela diri?”
Puan Latifah tersentak apabila mendengar kenyataan itu. Dia menutup mukanya menggunakan kedua tapak tangannya. Dia menangis teresak-esak.
“Maafkan mak. Maafkan mak. Semuanya salah mak. Mak langsung tak berikan peluang kepada Zakwan untuk bersuara ketika itu. Maafkan mak. Mak...mak...”
“Berikan aku masa untuk berfikir.”
Zakwan menyatakan sambil bangkit dari kerusinya. Dia mahu melangkah keluar dari rumah itu, namun kenyataan Encik Talib membuatkan langkahnya terhenti.
“Zakwan, setiap manusia layak untuk mendapat peluang kedua. Maafkanlah mak. Mak Cuma mahukan Jannah bahagia. Itu juga merupakan hasrat abah.”
“Abah, yang merosakkan kebahagiaan Jannah ialah perempuan tua yang bernama LATIFAH. Bukannya orang lain.”
Dia melangkah keluar dari rumah tersebut. Motosikal berkuasa tinggi dihidupkan dan dia bergerak meninggalkan perkarangan rumah tersebut. Pada masa yang sama juga, sebuah skuter berwarna hijau bergerak masuk ke perkarangn rumah kampung tersebut. Zakwan bertembung dengan skuter itu, namun dia tidak menyedari penunggangnya.

                ZAKWAN ketika ini sedang duduk  di sebuah pondok menikmati pemandangan Laut China Selatan yang terbentang luas di hadapan mata. Indahnya ciptaan ALLAH. Semenjak kecil , dia amat menyukai melihat pantai dan lautan. Baginya, memandang kebesaran ciptaan Yang Maha Esa memberikannya ketenangan jiwa yang amat luar biasa. Terasa dirinya dekat kepada Yang Maha Esa. Hilang segala permasalahan dan kerisauan.
                “Assalamualaikum awak.”
                Kedengaran suara seorang gadis memberi salam. Zakwan tersenyum sendiri apabila mendengar suara itu.
                “Tak sangka, awak tahu di mana hendak mencari saya.”
                “Awak, salam saya masih belum berjawab.”
                “Waalaikumussalam warahmatullah.”
                “Hee. Tak nak jemput saya duduk?”
                “Along?”
                “Along di sini, Zack.”
                Abdul Rahman menjawab soalannya. Begitulah perwatakan Zakwan. Sama sekali tak mahu berdua-duaan dengan yang bukan mahram, biarpun di tempat terbuka. Dia amat menjaga pergaulannya. Bahkan ketika bersemuka Jannah untuk meluahkan hasratnya untuk memperisterikan gadis itu dahulu, dia meminta Abdul Rahman untuk menemaninya.
                “Awak sihat?”
                “Sihat Alhamdulillah.”
                “Mudah awak jumpa saya?”
                “Tak ada lelaki yang gunakan motosikal berkuasa tinggi di Mentara ni. Lagipun, masa awak gerak tadi, saya masuk ke halaman rumah. Saya cam warna motosikal awak.”
                “Duduklah. Takkan nak berdiri saja.”
                Jannah duduk berhampiran Zakwan, namun masih menjaga jarak antara mereka berdua. Abdul Rahman menemani mereka berdua. Menjadi orang ketiga antara teruna dan dara.
                “Saya pasti, awak dah tahu apa yang terjadi antara saya dengan calon pilihan mak.”
                “Tahu. Saya tinggalkan awak dengan harapan awak akan bahagia dengan dia, tapi nampaknya harapan saya tak menjadi kenyataan. Salahkah tindakan saya meninggalkan awak?”
                “Awak, awak tak salah pun dalam hal ni. Saya tahu awak mahukan saya bahagia, dan saya cuba untuk menerima dia sebagai calon suami saya, tetapi, saya gagal untuk menipu perasaan saya sendiri. Saya tak mampu untuk mencintai lelaki lain selain awak. Saya cuba untuk melupakan awak, menafikan perasaan saya sendiri, tapi saya gagal. Saya kuatkan hati, teruskan pertunangan saya dengan lelaki itu. Tetapi, apabila tersebar berita yang dia ditangkap khalwat, saya kecewa.”
                Jannah menelan air liur sebelum meneruskan kata-katanya.
                “Hati saya hancur awak. Saya cuba untuk menerima dia, tetapi dia? Masih berhubung dengan bekas kekasihnya, sama sekali mengabaikan  saya. Sebab itu, apabila berita dia ditangkap khalwat disahkan sendiri oleh ibu bapanya, saya mengambil keputusan untuk berterus terang dengan mak mengenai perasaan saya.”
                Zakwan hanya mendiamkan diri tanpa sebarang reaksi. Dia tekun mendengar penjelasan daripada Jannah.
                “Zack, along mewakili semua ahli keluarga along ingin memohon maaf.”
                “Mohon maaf? Untuk apa along?”
                “Kami sekeluarga sedar Jannah terpaksa terima calon pilihan mak, tapi kami buat tak tahu saja. Along sedar perubahan yang jadi pada Jannah, tapi along buat-buat tak nampak. Jannah berubah menjadi pendiam, hilang selera makan dan selalu termenung. Along tanya apa masalah dia, tapi dia tak mahu menyatakannya. Bila along paksa, baru dia bersuara. Along dan abah cuba pujuk mak supaya terima Zack, tapi mak langsung buat tak tahu. Mak tetap mahukan lelaki itu. Bila dah jadi camni, baru mak sedar salah dan silap dia. Sebab tu, mak minta along telefon Zack, minta supaya Zack datang ke sini. Semua ni takkan terjadi jika mak berikan peluang kepada Zack. Kami sekeluarga minta maaf Zack.”
                Zack hanya tersenyum mendengar kenyataan Abdul Rahman.
                “Sebenarnya, saya terhutang budi pada kalian sekeluarga.”
                Jannah terkejut apabila mendengar kenyataan itu.
                “Maksud awak?”
                “Sebenarnya, saya sedih dan kecewa apabila dapat tahu awak bertunang dengan pilihan mak, Jannah. Saya murung dan tertekan. Tapi saya sedar, tak kira apa jua yang terjadi, hidup kena diteruskan. Alhamdulillah, saya berjaya menukarkan kesedihan dan kekecewaan itu menjadi pendorong dan sumber motivasi saya untuk berubah menjadi lebih baik. Terus terang, kejayaan saya hari ini sumbernya daripada kesedihan dan kekecewaan saya 2 tahun dulu. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada ALLAH kerana memberi saya kesedihan dan kekecewaan,kerana 2 benda ini membentuk saya menjadi saya yang sekarang.”
                “Rancak bersembang. Boleh kami turut serta?”
                Batrisya bertanya. Ira dan Iqa turut bersama dengannya.
                “Sila sila. Ada kosong lagi ni. Jangan lupa tambah nasi.”
                Zakwan berseloroh.  Semua yang berada di situ ketawa.
                “Awak, sambung cerita.”
                Jannah menyatakan kepada Zakwan.
                “Awak, untuk bahagian seterusnya, along dan kak long akan menyambung.”
                Jannah mengalihkan pandangan kepada abangnya dan juga kakak iparnya. Mereka tahu mengenai Zakwan?
                “Tak perlu terkejut, angah. Kami di Tongkang Pechah, Zack di Parit Sidek. Bukannya jauh mana. Kalau angah nak tahu, Zack mempunyai empayar perniagaan sendiri sekarang. Namanya cukup dikenali ramai di Batu Pahat. Sebuah banglo 3 tingkat, 2 buah kereta mewah, dan sebuah motosikal berkuasa tinggi seperti yang angah lihat.”
                “Semuanya dibeli secara tunai tanpa hutang. Kita biasa mendengar orang mempunyai kekayaan sedemikian, tapi untuk mempunyai kekayaan sedemikian tanpa hutang, itu sesuatu yang sangat jarang kita dengar.”
                Batrisya menambah apa yang dikatakan oleh suaminya. Jannah terkedu, memandang Zakwan yang sedang melayan kerenah kembar yang berada di pangkuannya
                “Kak long, betulkah apa yang dikatakan kak long?”
                “Bapanya sendiri yang memaklumkan. Lagipun, dia yang menampung perbelanjaan pembelajaran dua adik lelakinya. Kedua ibu bapanya tak perlu lagi bekerja.”
                Jannah terkedu. Siapa sangka, dalam masa 2 tahun sahaja, seorang pemuda mampu melakukan semua itu. Kali terakhir dia bertemu dengan Zakwan, pemuda itu hanya memiliki sebuah motosikal. Itu pun motosikal jenis yang terpakai. Zakwan mengalihkan pandangannya ke arah Jannah. Sebaik sahaja menyedari gadis itu memerhatikannya, dia tersenyum nipis. Jannah lekas mengalihkan pandangannya ke arah lain. Malu pula rasanya.
                “Jadi Zack, apa keputusan Zack?”
                “Maksud along?”
                “Along sedia untuk terima Jannah semula?”
                Zakwan hanya mengukir senyum.
                “Along, dalam masa 2 tahun ni, saya hindari persoalan berkaitan cinta, nikah dan jodoh. Saya tinggalkan hati saya pada gadis yang sama semenjak 2 tahun yang lalu. Saya tak nampak sebab yang munasabah untuk saya mencari yang lain.”
                Jannah tersentak mendengar jawapan pemuda itu. Mahu saja dia menitiskan air mata. Terharu!
                “Jika begitu, apa lagi yang nak Zack tunggu? Jangan tunggu lama-lama, nanti diambil orang.”
                “Saya tahu, along. Tapi, saya perlukan masa.”
                “Masa untuk apa, awak?”
                “Masa untuk memaafkan mak. Bukannya mudah untuk saya maafkan apa yang dia buat pada saya masa majlis konvokesyen awak, Jannah.”
                Semua yang berada di situ terdiam. Zakwan turut sama mendiamkan diri.
                “Jadi, benda ni akan memakan lebih masa?”
                “Ya, along. Nampak gayanya begitulah. Saya tak tahu berapa lama masa yang diperlukan, tapi Jannah, sanggupkah awak tunggu saya?”
                “2 tahun saya memendam perasaan. 2 tahun juga awak serahkan hati awak pada saya untuk dijaga. Takkan saya tak boleh untuk terus menunggu?”
                Zakwan tersenyum. Dia mengalihkan Ira dan Iqa yang berada di pangkuannya dan bangkit.
                “Saya ada beberapa perkara yang perlu saya selesaikan. Saya kena minta diri terlebih dulu.”
                Dia melangkah ke arah motosikalnya yang diletakkan bersebelahan dengan pondol tersebut.
                “Zack, harapnya jangan terlalu lama.”
                “Saya beri jaminan. Takkan terlalu lama.”
                Dia bersalaman dengan Abdul Rahman. Ira dan Iqa dicium di pipi dan di dahi.
                “Saya minta diri terlebih dulu. Assalamualaikum.”
                Motosikalnya dihidupkan dan dia bergerak meninggalkan mereka semua.

Setahun kemudian
                Zakwan memandu kereta dengan kelajuan sederhana. Keadaan jalan yang agak sesak, membuatkan dia memandu dengan berhati-hati. Dia melihat jam di dashboard kereta.
                Nampaknya, akan memakan lebih masa.           
                Dia mengalihkan pandangannya ke kiri dan pandangannya bertembung dengan pandangan isterinya.
                “Kenapa abang pandang sayang sebegitu?”
                “Semakin hari, isteri abang ni semakin cantik dan jelita. Not to mention, seksi.”
                “Nakalnya abang sayang ni.”
                Isterinya mencubit perlahan pipinya. Zakwan tertawa kecil.
                “Kalau seksi pun apa salahnya, untuk suami tercinta. Dapat pahala lagi tau.”
                “Pandainya sayang abang ni.”
                Telefon bimbitnya berbunyi. Zakwan menekan bluetooth yang disangkut pada telinga kanan.
                “Assalamualaikum mak. Ye saya. Kami dalam perjalanan ni. Jangkanya tengahari atau petang kami sampai. Apa? Kesian. Takpe, cakap dengan diorang kami dalam perjalanan. Ye ye. Kirim salam abah. Baik. Waalaikumussalam warahmatullah.”
                Panggilan ditamatkan. Dia ketawa kecil.
                “Kenapa abang?”
                “Kembar 2 orang tu demam. Rindukan angahnya kata maknya.”
                “Rindukan angahnya, atau rindukan suami angahnya?”
                “Senang cakap, rindukan keduanya.”
                Mereka berdua ketawa. Zakwan mencapai tangan kanan isterinya dan digenggam erat. Tanda cinta dan kasih sayang yang tidak berbelah berbahagi. Isterinya  memandang tangannya yang berada dalam genggaman suaminya. Dia turut sama tersenyum bahagia.


                Cinta. Jodoh. Takdir. Kurniaan Yang Maha Esa kepada hambaNya. Manusia hanya merancang, namun ALLAH juga yang menentukan. 

Wednesday, 18 December 2013

INDERA – MISI KEMANUSIAAN KHAS
KUANTAN, PAHANG
                HUJAN lebat yang berterusan semenjak 2 hari yang lepas sangat menggusarkan hatinya. Hujan tanpa henti itu mengakibatkan banyak aktiviti hariannya tergendala. Apa yang dirancang tidak menjadi. Namun, bukan itu yang menjadi kegalauan utama hatinya. Matanya beralih arah daripada perkarangan rumah yang mula dinaiki air ke arah sungai yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Paras air semakin meningkat.

KEMAMAN, TERENGGANU
                “JANGAN sesekali bermain air ketika hujan.” Itu pesanan akhir ayahnya sebelum bergerak ke pejabat yang terletak di Kuala Terengganu. Anak itu akur pada perintah ayahnya. Dia termenung di tingkap rumahnya. Memerhatikan paras air yang semakin meningkat di sekitar kawasan rumahnya. Mana perginya pasukan bantuan?
                “Bilalah hujan ni nak berhenti?”
                Dia bertanya kepada dirinya sendiri.  Dia memerhatikan hujan yang masih turun tak berhenti. Seolah-olah manusia yang menangis teresak-esak.

KUANTAN, PAHANG
                “HMMM. Mana perginya mereka? Rakyat sendiri tersepit, berhadapan dengan bencana alam, tapi mereka masih tak mengambil tindakan. Atau…bantuan masih dalam perjalanan?”
Lelaki tersebut bertanya kepada dirinya sendiri. Dia ketika ini sedang berdiri di atas bumbung sebuah rumah kedai, membiarkan dirinya dibasahi hujan. Disebabkan hujan lebat yang semakin menggila, tiada siapa yang menyedari kehadirannya di situ. Jarak pandangan semakin berkurangan.  Telefon pintarnya berbunyi, dia mengeluarkan alat komunikasi canggih itu dan membaca maklumat yang baru diterimanya.
“Mengikut perkiraan Ma’rifah, jika keadaan begini berterusan, bandar Kuantan akan tenggelam. Selain daripada itu, pasukan bantuan masih dalam proses mengumpulan barang keperluan yang akan diagihkan kepada mangsa banjir. Pusat pemindahan semakin banyak yang dibuka. Mangsa yang dipindahkan semakin bertambah. Kawasan yang dinaiki air semakin banyak. Keadaan semakin sukar.”
Ma’rifah. Unit pemprosesan nano yang menjadi kepada tulang belakang pertubuhan yang
dianggotainya. Komputer super yang mengandungi data mengenai semua perkara yang wujud di dunia ini, daripada data mengenai pergerakan tektonik kerak bumi hingga ke tarikh lahir dan kematian seseorang manusia, data yang terkandung dalam Ma’rifah amat terperinci dan menyeluruh.
Alat telekomunikasi tanpa wayar yang dipakai pada telinga kanannya berbunyi. Dia pantas menyentuh alat tersebut.
“Hamzah.”
“Hamzah, keadaan di Kemaman semakin teruk. Mengikut perkiraan Ma’rifah, jika keadaan ini berterusan, Kemaman akan terputus hubungan dalam masa beberapa hari lagi. Jika jalan ditutup untuk semua laluan dan jambatan yang meghubungkan Kemaman runtuh, keadaan akan menjadi semakin teruk. Bekalan air bersih, barang keperluan dan petrol semakin berkurangan. Keadaan masih lagi terkawal, namun tak tahu berapa lama mereka mampu bertahan. Bagaimana keadaan di Kuantan?”            
 “Bandar Kuantan akan tenggelam jika hujan lebat tak berhenti dalam masa 4 hari. Bagaimana dengan transporter yang dibina Muhaddis, Umar?”
“Hampir siap. Perlukan sekurang-kurangnya seminggu lagi, termasuk ujian yang akan dijalankan untuk transporter  yang baru saja disiapkan.”
                “Seminggu lagi???”
                “Itu tempoh paling cepat. Selebihnya tawakkal kepada ALLAH. Kita cuma berusaha Hamzah. Dia juga yang menentukan.”
                “Harapnya mereka mampu bertahan.”
                “InshaaALLAH mereka mampu bertahan.”
                “Siapa sangka, kita akan terlibat dalam misi yang sebegini?”
                “Heh. Cara kau bercakap, seolah-olah misi kita selama ini hanya membabitkan peperangan saja. Kau susah nak terima misi yang kita jalankan kali ini?”
                “Bukan begitu. Cuma aku tak sangka. Lagipun, misi kita selama ini tak pernah berlaku di dalam Malaysia. Sepatutnya, kita lebih banyak menjalankan misi menyelamat sebegini.”
                “Untuk makluman kau, Khalid yang mencadangkan misi ini kepada Norman. Proposalnya diluluskan oleh Ma’rifah.”
                “Heh. Sememangnya Khalid. Cukup peka dengan keadaan dan situasi sebegini.”
                Perbualan antara dua lelaki itu tamat di situ.

                SEPERTI yang telah dijangka, hujan lebat yang tidak berhenti selama beberapa hari mengakibatkan banjir  bertambah teruk. Bandar Kuantan tenggelam, manakala Kemaman terputus hubungan dengan dunia luar. Pasukan bantuan digerakkan untuk member bantuan kepada mangsa banjir. Bantuan diberikan kepada mereka yang berada di pusat pemindahan. Mereka yang terperangkap di dalam banjir diselamatkan oleh pasukan penyelamat.
Sukarelawan baik daripada NGO dan juga kerajaan digerakkan untuk membantu. Malah tabung bantuan mangsa banjir turut diwujudkan. Kini, mereka semua mengharapkan perkara yang sama. Amat berharap, berdoa dan meminta kepada tuhan semoga hujan lebat yang tidak henti selama beberapa hari berhenti dan juga banjir surut dengan segera.

KUANTAN, PAHANG
                BAIZURA termenung jauh memerhatikan perkarangan pusat pemindahan  yang menjadi tempat penginapannya semenjak 2 hari yang lalu. Perkara yang paling dibimbanginya akhirnya berlaku. Aras banjir naik secara mendadak, sehingga menenggelamkan rumahnya. Semua ahli keluarganya dipindahkan ke salah satu pusat pemindahan yang dibuka. Hujan lebat yang tiada henti semenjak beberapa hari yang lalu tambah meresahkan hati. Sampai bila keadaan ini akan berterusan?
                Tiba-tiba, matanya menangkap sesuatu yang sama sekali di luar jangkaan. Sesuatu terbang melintas di hadapannya. Walaupun kelajuan objek itu amat tinggi dan melintas di hadapannya sepintas lalu, namun dia amat pasti yang dia tidak tersalah pandang. Iron Man?

KEMAMAN, TERENGGANU
                PUSAT pemindahan itu dipenuhi manusia dari pelbagai bangsa dan agama. Mereka saling membantu, tabah menghadapi ujian dan dugaan yang menimpa. Aiman ketika ini sedang berbaring. Hatinya galau. Masih tiada khabar berita daripada ayahnya yang terperangkap di Bandar Kemaman.
                “Ayah...harapnya ayah tak apa-apa.”

                Unit SAA tersebut bergerak pantas membelah udara. Setelah beberapa ketika terbang, SAA itu sampai ke destinasi.
                “002, telah sampai ke destinasi.”
                Unit 002 tersebut terapung di ruang udara Bandar Kemaman yang terputus hubungan dengan dunia luar.
                Bersabarlah wahai penduduk Kemaman. Penderitaan kalian akan berakhir tak lama lagi.
                Muncul maklmuman pada skrin pelindung mukanya.
                Unit 003 telah sampai ke Kuantan. Sekarang yang tinggal hanya Fateh.

                Unit 004 yang dipandu Fateh terbang laju membelah udara. Fateh menggunakan fungsi  Fascinating Five untuk membolehkan unit 004 terbang dengan kelajuan 5 kali ganda kelajuan asal, membolehkannya sampai ke tempat yang dituju dengan lebih cepat. Selang setengah jam, dia tiba di destinasi.
               
PALESTIN
                Fateh mengurangkan ketinggiannya dan berlegar-legar di sekitar ruang udara Palestin. Muncul peta kecil pada skrin pelindung mukanya, yang memaparkan titik merah.
                Di situ?
                Dia mengubah arah penerbangannya menuju ke titik merah yang berada di atas peta. Dia mendarat di atas sebuah bukit. Tidak jauh dari tempat dia mendarat, terdapat sebuah lubang  berdiameter 10 meter. Dia mencapai gelung titanium yang berada di belakang badannya lalu mencampakkan gelung tersebut ke dalam lubang tersebut. Lubang tersebut tertutup dengan sendirinya.
                “Fateh, telah sampai ke tangki simpanan utama. Transporter terakhir telah ditempatkan.” Dia memaklumkan.
                “Bagus Fateh. Aktifkan semua transporter sekarang.”
                Kedengaran arahan baru untuknya.
                “Baik. Aktifkan transporter.”
                Arahan yang sama turut diberikan kepada  Hamzah yang berada di Bandar Kuantan dan Umar yang berada di Bandar Kemaman.
Fateh mengaktifan  penujah kakinya dan terbang meninggalkan bukit tersebut, menuju ke destinasinya yang selanjutnya.

PALESTIN
                Fateh mengurangkan ketinggiannya secara berperingkat-peringkat. Sebaik sahaja ketinggiannya hanya beberapa meter daripada permukaan tanah, dia mematikan penujah kakinya dan mendarat.
Dia disambut oleh ahli Celestial Protectors yang berada di situ. Dia meluncur ke arah sebuah alat yang menyerupai keranda yang ditegakkan dan memasuki alat tersebut dan alat tersebut tertutup secara automatik. Asap tersembur keluar dari beberapa bahagian alat tersebut dan pintunya terbuka semula. Fateh yang kini berpakaian ahli Celestial Protectors  berpangkat Celestial Legendary Knight melangkah keluar dari alat tersebut.
                “Selamat datang, Tuan Fateh.” Ketua kumpulan pejuang yang menyambutnya memberikan tabik hormat.
                “Turun tabik. Tak perlu panggil saya tuan. Sekadar Fateh sudah mencukupi.” Fateh menyatakan pandangannya.
                “Bagaimana persiapan?”dia bertanya lagi.
                “Semuanya sudah siap tuan. Paip saliran telah dibina dari tangki simpanan utama dan disalurkan ke setiap kawasan penempatan penduduk Palestin. Tangki simpanan juga berfungsi menjana elektrik yang akan digunakan oleh semua penduduk Palestin. Pencawang elektrik juga sudah siap dibina.”
                “Begitu. Perkembangan lain?”
                Mereka berdua berbual sambil berjalan meninjau kawasan tersebut, diiringi oleh beberapa ahli Celestial Protectors  yang lain.
                “Pergerakan Biological Identification Wall juga berjalan mengikut perancangan. Bahan pembinaan, ubat-ubatan, bekalan makanan dan keperluan asas  semuanya dihantar mengikut jadual yang telah ditetapkan. Ladang tanaman penduduk Palestin juga menunjukkan hasil yang amat memberangsangkan.  Pembinaan semula juga tiada sebarang masalah.”
                “Alhamdulillah. Usaha keras kita selama ini mula menampakkan hasil.”
                “Alhamdulillah. Maafkan saya tuan, boleh saya bertanya sesuatu?”
                “Jangan panggil saya tuan. Panggil saja Fateh. Apa dia?”
                “Dari mana datangnya sumber air untuk memenuhkan tangki simpanan utama dan menjana tenaga elektrik?”
                “Heh. Soalan yang menarik. Sumber air itu datangnya daripada kawasan yang dilanda bencana alam seperti tsunami dan juga banjir dari tempat di serata pelusuk dunia.”
                “Air banjir dan air laut?? Bukankah air sedemikian tak selamat untuk digunakan oleh manusia? Tuan, bukankah itu dikira menganiaya umat Palestin??”
                Fateh hanya tersenyum.
                “Nampaknya, kamu dah terbiasa memanggil orang atasan kamu dengan panggilan “tuan” ya? Jangan risau, kami tak sekejam itu. Transporter adalah satu rekaan unik.”
                “Rekaan unik? Maksud tuan?”
                “Heh. Transporter bukan saja berfungsi sebagai pemindah. Alat itu juga mempunyai fungsi lain. Ciptaan Muhaddis kali ini mengandungi satu sistem penapisan yang menggunakan teknologi terkini kita. Setiap liter air yang melalui transporter akan ditapis secara teliti, molekul demi molekul untuk menjadikannya air bersih. Jadi, air yang dipindahkan dari seluruh dunia akan ditapis dengan teliti sebelum disimpan di tangki simpanan utama. Air yang terhasil dari proses tapisan ini merupakan antara air terbersih di dunia, kedua selepas air zam zam. Air ini juga boleh diminum secara terus.”
                Kumpulan tersebut menghampiri sebatang pili air. Fateh membuka pili air tersebut, menadah air yang mengalir keluar menggunakan tangan kanannya.   Tindakan Fateh tersebut hanya diperhatikan oleh semua ahli Celestial Protectors dan juga rakyat Palestin yang berada di sekitar kawasan tersebut. Sebaik sahaja air memenuhi tapak tangan kanannya, dia terus sahaja meneguk air itu tanpa sebarang rasa risau dan curiga.
                “Alhamdulillah.”
                Dia menyatakan puji dan syukur kepada ALLAH sambil membuat isyarat thumbs up kepada semua yang berada di sekitar kawasan tersebut sebaik sahaja selesai meneguk air yang berada dalam tapak tangan kanannya . Bergema kalimah takbir dan tahmid memuji ALLAH Yang Maha Esa.

MALAYSIA
                “Ini berita yang baru sahaja kami terima. Aras air di Bandar Kuantan yang tenggelam dan Bandar Kemaman yang terputus hubungan diakibatkan banjir dilaporkan menurun secara mendadak.  Walaupun tidak diketahui puncanya, namun fenomena ajaib ini dipercayai mempunyai kaitan dengan kemunculan semula objek menyerupai Iron Man yang selama in hangat diperkatakan. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk...”
                Siaran berita tersebut dipadamkan. Dia hanya tersenyum. Lelaki itu kemudiannya berpaling, melangkah mahu meninggalkan bilik kawalan tersebut.
                “Khalid, bagaimana dengan tindakan susulan?”
                “Serahkan kepada Norman. Masanya semakin hampir untuk kita membuat kemunculan semula.”
                “Baik.” Ahli yang bertanya sebentar tadi memberikan tabik hormat kepada lelaki yang bernama Khalid itu. Dia membalas tabik hormat tersebut, sebelum melangkah meninggalkan bilik kawalan itu.
               

                Perjuangan mereka masih belum selesai. Bahkan, perjuangan mereka baru sahaja bermula.