Saturday, 21 December 2013

CINTA, JODOH DAN TAKDIR
PARIT SIDEK, JOHOR
                PEMUDA tersebut menghidupkan motosikal berkuasa tingginya, dan membiarkannya untuk seketika. Dia termenung sambil duduk di hadapan pintu masuk rumahnya. Panggilan telefon yang diterimanya semalam mengganggu fikirannya.
                “Masih terfikirkan panggilan semalam?”
                Soalan daripada ayahnya menyedarkannya dari alam imaginasi. Dia berpaling dan melemparkan senyuman kepada lelaki setengah abad itu.
                “Terus terang, ya. Siapa sangka, dia akan telefon abang, dan minta abang datang ke rumahnya. Ayah tak rasa sebarang keganjilan?”
                “Ayah dapat rasakan ada yang tak kena. Kamu masih tak boleh maafkan dia?”
                “Perempuan tua tu? Maaf? Heh.”
                Dia membalas soalan ayahnya itu dengan sengihan tanpa sebarang jawapan. Dia kemudiannya bangkit, menyarung kasutnya. Dia bersalaman dengan ayahnya itu.
                “Berapa lama kamu akan berada di sana?”
                “Tak pasti lagi. Sebarang perkembangan abang akan maklumkan pada ayah dan ibu kemudian.”
                Beg galas dan topi keledar muka penuhnya dicapai dan disarung ke kepala.
                “Abang pergi dulu. Assalamualaikum.”
                “Waalaikumusaalam warahmatullah.”
                Motosikal berkuasa tingginya diturunkan daripada tongkat kembar. Penderam dipulas beberapa kali. Enjin mengaum. Setelah berpuas hati, dia memasukkan gear pertama. Dia berpaling menghadap ayahnya dan melambaikan tangan kanannya sambil memulas penderam. Motosikal berkuasa tinggi keluaran syarikat Jepun tersebut bergerak meninggalkan halaman rumah banglo 3 tingkat itu dan bergerak membelah jalanraya, menuju ke destinasi yang terletak di pantai timur.
                Zakwan, jika Jannah telah ditentukan oleh ALLAH menjadi isteri kamu, tak kira apa saja yang menghalang, kamu berdua pasti akan bersatu. Wahai anakku, ayah hanya kamu mahukan kamu bahagia.

BUKIT KATIL, MELAKA
                 SETELAH membalas pesanan teks yang diterima dari Haji Badrul, Hajjah Mariam mengunci telefon pintarnya.
                “Siapa yang mesej ibu tadi?”
                Mariani, anak perempuannya bertanya.
                “Ayah kamu. Zakwan dalam perjalanan berjumpa keluarga Jannah.”
                “Jannah? Kenapa? Tak puas lagi menyakitkan hati dan perasaan Zack?”
                “Mariani, kamu tak tahu cerita sebenarnya.”
                Ibunya menyatakan sambil tersenyum nipis.
                “Maksud ibu?”
                “Biarkan. Tanya sendiri pada Zakwan. Jika dia tak keberatan, dia akan bercerita kepada kamu.”
                Puan Mariam menyatakan sambil melangkah ke dapur, meninggalkan Mariani keseorangan memikirkan maksud kata-katanya itu.

BANGI
                “ABANG aku ni, baik nau. Kang jika aku cop dia lurus bendul, dia mengamuk.”
                Nashih Ulwan, pelajar tahun tiga Universiti Kebangsaan Malaysia  mengeluh. Pening memikirkan perangai abangnya itu. Abangnya itu baik, terlalu baik hinggakan orang lain mengambil kesempatan. Dia sendiri susah hendak memaafkan perempuan tua itu atas apa yang telah dilakukan kepada abang kandungnya, namun keputusan abangnya itu mahu bersemuka dengan keluarga Jannah sama sekali di luar dugaannya. Tak kira apa pun yang terjadi, dia sentiasa mendoakan yang terbaik untuk abangnya itu.

JETI TANJUNG GEMOK
                ZAKWAN menghentikan motosikal yang ditunggangnya di tempat meletak motosikal yang disediakan. Dia mencapai telefon bimbitnya. Menghubungi seseorang.
                “Assalamualaikum abang long. Saya sekarang ni di jeti Tanjong Gemok. Saya tunggu abang di sini.”
                Panggilan ringkas itu tamat di situ. Sementara menunggu abang long, kenangannya bersama Jannah bermain di fikiran. 2 tahun telah berlalu semenjak kali terakhir dia bertemu dengan gadis itu, ketika menghadiri majlis konvokesyennya. Lamunannya berkecai apabila dia ditegur seseorang.
                “Assalamualaikum Zack. Apa khabar?”
                Dia berpaling menghadap tuan punya suara tersebut. Dia melemparkan senyuman manis untuk lelaki dan wanita yang berada di hadapannya.
                “Waalaikumussalam warahmatullah abang long. Sihat Alhamdulillah. Abang long dan kak long sihat?”
                Dia bertanya semula kepada lelaki dan wanita itu. Abdul Rahman. Abang kandung kepada Jannah. Dia tiba bersama isterinya.
                “Kami sihat Alhamdulillah. Boleh kita gerak sekarang?”
                Dia menganggukkan kepalanya. Bersetuju tanpa sebarang bantahan.

KAMPUNG MENTARA
                LELAKI pertengahan 40an itu leka membaca surat khabar di ruang tamu. Konsentrasinya terganggu apabila mendengar deruman enjin kereta dan juga motosikal berkuasa tinggi memasuki perkarangan rumah kampung itu. Enjin kedua-dua jentera itu dimatikan. Dia pantas melipat akhbar itu lalu meletakkannya ke atas meja kaca jernih segi empat tepat lalu melangkah menuju ke pintu. Kedengaran anak lelakinya memberi salam.
                “Assalamualaikum.”
                “Waalaikumussalam warahmatullah along. Mana Zakwan?”
                “Dia ada di luar, ayah. Jannah mana?”
                “Masih belum pulang. Jemput tetamu kita tu masuk.”
                “Zack, mari masuk. Abah ingin berjumpa dengan Zack.”
                Zakwan melangkah masuk sambil memberikan salam. Salam suci itu berjawab. Sebaik sahaja melihat lelaki itu, Zakwan bersalaman lalu memeluk erat lelaki itu, umpama memeluk ayahnya.
                “Apa khabar, abah?”
                “Baik alhamdulillah. Jemputlah duduk. Abah mahu ke dapur sekejap.”
                Encik Talib menyatakan sambil melangkah menuju ke dapur. Zakwan melabuhkan punggungnya di salah satu kerusi yang berada di ruang tamu. Dia ditemani oleh Rahman dan Batrisya.
                “Ira, Iqa, mari ke ruang tamu. Kita ada tetamu.”
                Batrisya memanggil kedua adik iparnya supaya bertemu dengan tetamu mereka. Ira dan Iqa melangkah ke ruang tamu. Sebaik sahaja ternampak Zakwan, mereka berdua pantas berlari ke arahnya, bersalaman dengan pemuda tersebut.
                “Abang Zack sihat?”
                “Bila abang Zack sampai? Kenapa tak maklumkan pada kami abang nak datang ke sini?”
                Pelbagai soalan diajukan kembar itu kepadanya. Zakwan sememangnya rapat dengan keluarga Jannah, bahkan Jannah sendiri pernah bertemu dengan keluarganya. Mereka berdua telah merancang untuk hidup bersama sebagai pasangan suami isteri, namun perancangan mereka berdua terbantut kerana seseorang.
                “Assalamualaikum, Zakwan.”
                Zakwan yang sedang melayan Ira dan Iqa tersentak sebaik sahaja mendengar salam tersebut.
                “Waalaikumussalam.”
Sepatah sahaja dia menjawab. Kelakuannya yang ceria melayan Ira dan Iqa sebentar tadi berubah serta merta.  Diam dan langsung tiada sebarang senyuman menghiasi bibir. Pandangannya tajam memerhatikan seorang wanita yang baru sahaja melangkah keluar dari dapur. Wanita tersebut yang menyedari perubahan kelakuan Zakwan, melabuhkan punggungnya di kerusi di hadapan Zakwan. Encik Talib duduk di sebelah wanita itu.
Abdul Rahman dan Batrisya yang menyedari kehadiran mereka tidak diperlukan di situ, mengajak Ira dan Iqa keluar mengambil angin.
“Ira, Iqa, mari ikut along, kita ke pekan.”
Adik beradik kembar yang tidak mengetahui apa apa itu hanya menurut.
“Abang Zack tak nak ikut kami?”
Iqa yang berusia 5 tahun bertanya.
“Pergilah. Abang mahu berbual dengan abah.”
Zakwan menyatakan sambil tersenyum mesra memandang anak kecil itu. Dia berpaling semula menghadap kedua manusia yang berada di hadapannya, senyuman mesra yang berjuntai di bibirnya hilang. Setelah memastikan mereka berempat telah meninggalkan perkarangan rumah tersebut, Zakwan bertanya kepada wanita yang baru sahaja keluar dari dapur itu.
“Apa yang kau mahu daripada aku?”
“Zakwan, sebenarnya mak nak minta maaf.”
Puan Latifah, ibu kepada Jannah menyatakan.
“Maaf? Untuk?”
“Mak silap. Mak telah menghancurkan kebahagiaan kamu dan Jannah. Mak...”
“Minta maaf pada Jannah. Bukan pada aku. Aku sama sekali takkan maafkan kau. Kau dah lupa apa yang kau buat pada aku dan Jannah?”
Puan Latifah terkedu apabila mendengar soalan itu. Dia memandang suaminya yang berada di sebelahnya. Mengharapkan bantuan.
“Zakwan, dengar penjelasan daripada mak dulu. Beri peluang kepada dia.”
“Silakan. Telinga saya sedia mendengar. Tapi, saya sedia mendengar atas permintaan abah.”
“Mak sedar mak salah. Mak pisahkan kamu dengan Jannah, semata mata sebab mak dah ada calon lain untuk Jannah. Tapi, siapa sangka, lelaki yang mak anggap yang terbaik untuk Jannah cukup pandai berlakon.”
“Begitu. Apa yang dia lakukan pada Jannah?”
“Dia ditangkap khalwat bersama teman wanitanya. Dia menerima Jannah semata-mata mahu menjaga hati kedua ibu bapanya. Dia sama sekali tiada niat mahu memperisterikan Jannah.”
“Oh. Jadi, apa kaitannya dengan aku? Apa yang kau mahu aku lakukan?”
Puan Latifah menarik nafas dalam sebelum menyatakan hajatnya.
“Mak harap, Zakwan sedia menerima Jannah semula. Hati Jannah hancur apabila mendengar berita itu. Mak pasti, Zakwan mampu membahagiakan Jannah.”
“Aku mampu membahagiakan Jannah? Betul ke? Bukankah kau sendiri yang menyatakan kau bencikan aku? Tak suka Jannah berkawan dengan aku? Kau juga yang menabur fitnah terhadap aku kan? Boleh jelaskan? Hati Jannah hancur apabila mendengar berita itu? Betul ke? Bukan hati dia telah hancur lebih awal apabila kau mengutuk dan menghina aku pada pertemuan kita yang pertama tanpa kau memberi peluang untuk aku membela diri?”
Puan Latifah tersentak apabila mendengar kenyataan itu. Dia menutup mukanya menggunakan kedua tapak tangannya. Dia menangis teresak-esak.
“Maafkan mak. Maafkan mak. Semuanya salah mak. Mak langsung tak berikan peluang kepada Zakwan untuk bersuara ketika itu. Maafkan mak. Mak...mak...”
“Berikan aku masa untuk berfikir.”
Zakwan menyatakan sambil bangkit dari kerusinya. Dia mahu melangkah keluar dari rumah itu, namun kenyataan Encik Talib membuatkan langkahnya terhenti.
“Zakwan, setiap manusia layak untuk mendapat peluang kedua. Maafkanlah mak. Mak Cuma mahukan Jannah bahagia. Itu juga merupakan hasrat abah.”
“Abah, yang merosakkan kebahagiaan Jannah ialah perempuan tua yang bernama LATIFAH. Bukannya orang lain.”
Dia melangkah keluar dari rumah tersebut. Motosikal berkuasa tinggi dihidupkan dan dia bergerak meninggalkan perkarangan rumah tersebut. Pada masa yang sama juga, sebuah skuter berwarna hijau bergerak masuk ke perkarangn rumah kampung tersebut. Zakwan bertembung dengan skuter itu, namun dia tidak menyedari penunggangnya.

                ZAKWAN ketika ini sedang duduk  di sebuah pondok menikmati pemandangan Laut China Selatan yang terbentang luas di hadapan mata. Indahnya ciptaan ALLAH. Semenjak kecil , dia amat menyukai melihat pantai dan lautan. Baginya, memandang kebesaran ciptaan Yang Maha Esa memberikannya ketenangan jiwa yang amat luar biasa. Terasa dirinya dekat kepada Yang Maha Esa. Hilang segala permasalahan dan kerisauan.
                “Assalamualaikum awak.”
                Kedengaran suara seorang gadis memberi salam. Zakwan tersenyum sendiri apabila mendengar suara itu.
                “Tak sangka, awak tahu di mana hendak mencari saya.”
                “Awak, salam saya masih belum berjawab.”
                “Waalaikumussalam warahmatullah.”
                “Hee. Tak nak jemput saya duduk?”
                “Along?”
                “Along di sini, Zack.”
                Abdul Rahman menjawab soalannya. Begitulah perwatakan Zakwan. Sama sekali tak mahu berdua-duaan dengan yang bukan mahram, biarpun di tempat terbuka. Dia amat menjaga pergaulannya. Bahkan ketika bersemuka Jannah untuk meluahkan hasratnya untuk memperisterikan gadis itu dahulu, dia meminta Abdul Rahman untuk menemaninya.
                “Awak sihat?”
                “Sihat Alhamdulillah.”
                “Mudah awak jumpa saya?”
                “Tak ada lelaki yang gunakan motosikal berkuasa tinggi di Mentara ni. Lagipun, masa awak gerak tadi, saya masuk ke halaman rumah. Saya cam warna motosikal awak.”
                “Duduklah. Takkan nak berdiri saja.”
                Jannah duduk berhampiran Zakwan, namun masih menjaga jarak antara mereka berdua. Abdul Rahman menemani mereka berdua. Menjadi orang ketiga antara teruna dan dara.
                “Saya pasti, awak dah tahu apa yang terjadi antara saya dengan calon pilihan mak.”
                “Tahu. Saya tinggalkan awak dengan harapan awak akan bahagia dengan dia, tapi nampaknya harapan saya tak menjadi kenyataan. Salahkah tindakan saya meninggalkan awak?”
                “Awak, awak tak salah pun dalam hal ni. Saya tahu awak mahukan saya bahagia, dan saya cuba untuk menerima dia sebagai calon suami saya, tetapi, saya gagal untuk menipu perasaan saya sendiri. Saya tak mampu untuk mencintai lelaki lain selain awak. Saya cuba untuk melupakan awak, menafikan perasaan saya sendiri, tapi saya gagal. Saya kuatkan hati, teruskan pertunangan saya dengan lelaki itu. Tetapi, apabila tersebar berita yang dia ditangkap khalwat, saya kecewa.”
                Jannah menelan air liur sebelum meneruskan kata-katanya.
                “Hati saya hancur awak. Saya cuba untuk menerima dia, tetapi dia? Masih berhubung dengan bekas kekasihnya, sama sekali mengabaikan  saya. Sebab itu, apabila berita dia ditangkap khalwat disahkan sendiri oleh ibu bapanya, saya mengambil keputusan untuk berterus terang dengan mak mengenai perasaan saya.”
                Zakwan hanya mendiamkan diri tanpa sebarang reaksi. Dia tekun mendengar penjelasan daripada Jannah.
                “Zack, along mewakili semua ahli keluarga along ingin memohon maaf.”
                “Mohon maaf? Untuk apa along?”
                “Kami sekeluarga sedar Jannah terpaksa terima calon pilihan mak, tapi kami buat tak tahu saja. Along sedar perubahan yang jadi pada Jannah, tapi along buat-buat tak nampak. Jannah berubah menjadi pendiam, hilang selera makan dan selalu termenung. Along tanya apa masalah dia, tapi dia tak mahu menyatakannya. Bila along paksa, baru dia bersuara. Along dan abah cuba pujuk mak supaya terima Zack, tapi mak langsung buat tak tahu. Mak tetap mahukan lelaki itu. Bila dah jadi camni, baru mak sedar salah dan silap dia. Sebab tu, mak minta along telefon Zack, minta supaya Zack datang ke sini. Semua ni takkan terjadi jika mak berikan peluang kepada Zack. Kami sekeluarga minta maaf Zack.”
                Zack hanya tersenyum mendengar kenyataan Abdul Rahman.
                “Sebenarnya, saya terhutang budi pada kalian sekeluarga.”
                Jannah terkejut apabila mendengar kenyataan itu.
                “Maksud awak?”
                “Sebenarnya, saya sedih dan kecewa apabila dapat tahu awak bertunang dengan pilihan mak, Jannah. Saya murung dan tertekan. Tapi saya sedar, tak kira apa jua yang terjadi, hidup kena diteruskan. Alhamdulillah, saya berjaya menukarkan kesedihan dan kekecewaan itu menjadi pendorong dan sumber motivasi saya untuk berubah menjadi lebih baik. Terus terang, kejayaan saya hari ini sumbernya daripada kesedihan dan kekecewaan saya 2 tahun dulu. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada ALLAH kerana memberi saya kesedihan dan kekecewaan,kerana 2 benda ini membentuk saya menjadi saya yang sekarang.”
                “Rancak bersembang. Boleh kami turut serta?”
                Batrisya bertanya. Ira dan Iqa turut bersama dengannya.
                “Sila sila. Ada kosong lagi ni. Jangan lupa tambah nasi.”
                Zakwan berseloroh.  Semua yang berada di situ ketawa.
                “Awak, sambung cerita.”
                Jannah menyatakan kepada Zakwan.
                “Awak, untuk bahagian seterusnya, along dan kak long akan menyambung.”
                Jannah mengalihkan pandangan kepada abangnya dan juga kakak iparnya. Mereka tahu mengenai Zakwan?
                “Tak perlu terkejut, angah. Kami di Tongkang Pechah, Zack di Parit Sidek. Bukannya jauh mana. Kalau angah nak tahu, Zack mempunyai empayar perniagaan sendiri sekarang. Namanya cukup dikenali ramai di Batu Pahat. Sebuah banglo 3 tingkat, 2 buah kereta mewah, dan sebuah motosikal berkuasa tinggi seperti yang angah lihat.”
                “Semuanya dibeli secara tunai tanpa hutang. Kita biasa mendengar orang mempunyai kekayaan sedemikian, tapi untuk mempunyai kekayaan sedemikian tanpa hutang, itu sesuatu yang sangat jarang kita dengar.”
                Batrisya menambah apa yang dikatakan oleh suaminya. Jannah terkedu, memandang Zakwan yang sedang melayan kerenah kembar yang berada di pangkuannya
                “Kak long, betulkah apa yang dikatakan kak long?”
                “Bapanya sendiri yang memaklumkan. Lagipun, dia yang menampung perbelanjaan pembelajaran dua adik lelakinya. Kedua ibu bapanya tak perlu lagi bekerja.”
                Jannah terkedu. Siapa sangka, dalam masa 2 tahun sahaja, seorang pemuda mampu melakukan semua itu. Kali terakhir dia bertemu dengan Zakwan, pemuda itu hanya memiliki sebuah motosikal. Itu pun motosikal jenis yang terpakai. Zakwan mengalihkan pandangannya ke arah Jannah. Sebaik sahaja menyedari gadis itu memerhatikannya, dia tersenyum nipis. Jannah lekas mengalihkan pandangannya ke arah lain. Malu pula rasanya.
                “Jadi Zack, apa keputusan Zack?”
                “Maksud along?”
                “Along sedia untuk terima Jannah semula?”
                Zakwan hanya mengukir senyum.
                “Along, dalam masa 2 tahun ni, saya hindari persoalan berkaitan cinta, nikah dan jodoh. Saya tinggalkan hati saya pada gadis yang sama semenjak 2 tahun yang lalu. Saya tak nampak sebab yang munasabah untuk saya mencari yang lain.”
                Jannah tersentak mendengar jawapan pemuda itu. Mahu saja dia menitiskan air mata. Terharu!
                “Jika begitu, apa lagi yang nak Zack tunggu? Jangan tunggu lama-lama, nanti diambil orang.”
                “Saya tahu, along. Tapi, saya perlukan masa.”
                “Masa untuk apa, awak?”
                “Masa untuk memaafkan mak. Bukannya mudah untuk saya maafkan apa yang dia buat pada saya masa majlis konvokesyen awak, Jannah.”
                Semua yang berada di situ terdiam. Zakwan turut sama mendiamkan diri.
                “Jadi, benda ni akan memakan lebih masa?”
                “Ya, along. Nampak gayanya begitulah. Saya tak tahu berapa lama masa yang diperlukan, tapi Jannah, sanggupkah awak tunggu saya?”
                “2 tahun saya memendam perasaan. 2 tahun juga awak serahkan hati awak pada saya untuk dijaga. Takkan saya tak boleh untuk terus menunggu?”
                Zakwan tersenyum. Dia mengalihkan Ira dan Iqa yang berada di pangkuannya dan bangkit.
                “Saya ada beberapa perkara yang perlu saya selesaikan. Saya kena minta diri terlebih dulu.”
                Dia melangkah ke arah motosikalnya yang diletakkan bersebelahan dengan pondol tersebut.
                “Zack, harapnya jangan terlalu lama.”
                “Saya beri jaminan. Takkan terlalu lama.”
                Dia bersalaman dengan Abdul Rahman. Ira dan Iqa dicium di pipi dan di dahi.
                “Saya minta diri terlebih dulu. Assalamualaikum.”
                Motosikalnya dihidupkan dan dia bergerak meninggalkan mereka semua.

Setahun kemudian
                Zakwan memandu kereta dengan kelajuan sederhana. Keadaan jalan yang agak sesak, membuatkan dia memandu dengan berhati-hati. Dia melihat jam di dashboard kereta.
                Nampaknya, akan memakan lebih masa.           
                Dia mengalihkan pandangannya ke kiri dan pandangannya bertembung dengan pandangan isterinya.
                “Kenapa abang pandang sayang sebegitu?”
                “Semakin hari, isteri abang ni semakin cantik dan jelita. Not to mention, seksi.”
                “Nakalnya abang sayang ni.”
                Isterinya mencubit perlahan pipinya. Zakwan tertawa kecil.
                “Kalau seksi pun apa salahnya, untuk suami tercinta. Dapat pahala lagi tau.”
                “Pandainya sayang abang ni.”
                Telefon bimbitnya berbunyi. Zakwan menekan bluetooth yang disangkut pada telinga kanan.
                “Assalamualaikum mak. Ye saya. Kami dalam perjalanan ni. Jangkanya tengahari atau petang kami sampai. Apa? Kesian. Takpe, cakap dengan diorang kami dalam perjalanan. Ye ye. Kirim salam abah. Baik. Waalaikumussalam warahmatullah.”
                Panggilan ditamatkan. Dia ketawa kecil.
                “Kenapa abang?”
                “Kembar 2 orang tu demam. Rindukan angahnya kata maknya.”
                “Rindukan angahnya, atau rindukan suami angahnya?”
                “Senang cakap, rindukan keduanya.”
                Mereka berdua ketawa. Zakwan mencapai tangan kanan isterinya dan digenggam erat. Tanda cinta dan kasih sayang yang tidak berbelah berbahagi. Isterinya  memandang tangannya yang berada dalam genggaman suaminya. Dia turut sama tersenyum bahagia.


                Cinta. Jodoh. Takdir. Kurniaan Yang Maha Esa kepada hambaNya. Manusia hanya merancang, namun ALLAH juga yang menentukan. 

No comments:

Post a Comment